Saturday, 7 December 2013

Cerita Banner Program Pendidikan Kesihatan

Jemariku tidak berseni dan aku tidak kreatif. Itu bait-bait bicara yang aku terapkan di jiwaku sejak sekian lama. Seingatnya selepas tamat peperiksaan SPM aku menjadi kaku dalam seni. Aku tidak lagi menjadi kreatif seperti dulu.
Hendak memegang berus lukisan pun aku sudah tidak betah lagi. Jemariku seakan menggigil apabila aku cuba memegang berus lukisan milik Zaza.
Dahulu 19 tahun yang lepas, akulah di antara insan yang paling mencintai seni samada seni lukis, seni reka, atau seni penulisan. Tetapi setelah 19 tahun masa beredar aku lupa dengan minatku itu.
Aku kini digelar dengan pelbagai gelaran... apa yang pasti aku dianggap orang yang tidak berseni lagi. Tidak kreatif seperti 19 tahun yang lepas.
Minggu lepas aku keresahan memikirkan tugasan yang diamanahkan kepadaku. Aku di minta untuk menguruskan perkara berkaitan 'Banner' untuk melancarkan Program Pendidikan Kesihatan yang merupakan salah satu tugasan wajib untuk pengajianku.
Aku mulanya bercadang untuk mengupah orang lain untuk mereka cipta banner tetapi kos yang meningkat membuat aku keresahan. Aku perlu meminimakan kos untuk projek ini. Aku berkongsi dengan seorang teman mengeluarkan belanja untuk melancarkan program ini.
Hari semakin suntuk untuk majlis pelancaran seperti tarikh yang telah dibincangkan.
Aku akhirnya cuba mereka sendiri Banner itu. Aku terpaksa berhempas pulas memerah idea untuk mencipta sebuah banner yang menarik berdasarkan tema dan tajuk yang telah kami pilih. Aku cuba mencipta beberapa rekaan yang berbeza dan akhirnya idea aku menghiasi majlis pelancaran itu. Di bawah ini contoh-contoh rekaan aku. Mulanya aku rasa sayu juga sebab tidak dapat kerungsingan melihat bannr aku yang belum siap.
Aku dan temanku telah memilih rekaan aku yang paling menarik dan hasilnya salah satu daripada di bawah menjadi pilihan ku untuk di hantar ke kedai printing.


Akhirnya selama lima jam itu aku berjaya mencipta sebuah banner yang membuat aku sendiri terkejut melihatnya.

Sunday, 24 November 2013

Air Terjun Lata Rek Kat Mana Tu...?

Hehehe... aku terpanggil untuk mencoret entri ini apabila aku diserbu dengan beberapa pertanyaan apabila aku menyebut nama satu tempat iaitu :
Air Terjun Lata Rek.
Ermmm...!!!  Sama ke dengan Fecbook ini : Air Terjun Lata Rek
Samalah tu kot... hahaha.. memang samalah. Aku nak bercerita sedikit pasal apa yang aku tahu pasal tempat ini. Aku kerap juga bercanda di sini... ambik ayat dari http://sesekali-aku-bercanda.blogspot.com.
Suatu ketika dahulu tempat ini amatlah terkenal sebagai salah satu tempat perkelahan yang menarik di daerah Kuala Krai. Menjadi pilihan pengunjung saban minggu unutk mandi manda dan bersantai serta tempat photographer mencari ilham. Di sini aku sempat copy beberapa foto yang aku ambil dari internet dan facebook Air Terjun Lata Rek.




Tempat ini suatu ketika dulu memang terkenal dengan keindahan panorama menghijau dan air terjun.

Saturday, 23 November 2013

Ranjau Sepanjang Jalan Kuala Betis-Lojing-Cameron Highlands- Perak

Minggu ini sebenarnya aku agak sibuklah juga. Tetapi seperti biasa berlagak selamba dan suka melengahkan kerja. Akhirnya kerja tersebut memberi tekanan yang bagaikan bunga api yang memercikkan cahaya yang cantik tapi menyakitkan tangan jika terkenanya. Kerja 'dateline' paras hidung barulah terhegeh-hegeh nak mengetuk keyboard komputer. Itulah aku yang punya banyak perancangan dan agenda dalam kepala tetapi tidak tahu yang mana nombor satu dan yang mana nombor tiga....Minggu lepas dengan assignment bertimbun aku sempat lagi ke Perak menghantar adik belajar di UITM Seri Iskandar. Kononnya nak jadi driver tapi akhirnya aku jadi penumpang di kerusi belakang yang terlena dalam keresahan.
Pelbagai cerita dan versi baru berlaku semasa hendak menghantar adikku itu. Aku beritahu En.Hubby akan bertolak awal pagi ke sana. Tetapi gara-gara menunggu driver gantian maka pukul 12.00 tengahari aku masih tercongak di rumah bonda. Sekitar pukul 1.00 tengahari aku ambil alih kereta bersama rombongan perempuan seramai 5 orang bertolak ke Perak. Masa tu tank minyak kereta milik adik aku dah berkelip merah tapi di sebabkan jarak rumahku dengan stesyen minyak tak jauh maka selamatlah aku sampai ke stesyen Caltex untuk mengisi minyak. Namun apa yang aku rancang tidak seperti diharapkan. Sesampai di stesyen minyak aku lihat berderet tong kecil di letak di setiap pam minyak yang menandakan minyak tiada atau masalahnya aku tidak akan dapat isi tangki minyak kereta aku pada waktu itu di situ.  Hendak meneruskan perjalanan ke Stesyen minyak seterusnya sejauh 60km. Mustahil rasanya.
Kebetulan pula masa tu azan zohor (Solat Jumaat) dari masjid di Kampung Sebelah berkumandang. Aku pun menukar plan ke dua. Aku mengajak keluargaku menunaikan solat zohor di stesyen minyak itu sementara menunggu adik lelakiku hantar kereta lain yang kebetulan minyak penuh. Selepas solat zohor barulah adikku sampai. Seterusnya dia menukar kereta dan berpatah balik ke bandar KK untuk mengisi kereta di Caltex Lepan J yang sejauh +-16km. Setengah jam lepas tu adik lelaki aku pun turut serta dalam rombongan itu setelah kereta aku di hantar balik ke rumah bonda.
Perjalanan kami melalui Lojing, Gua Musang dan seterusnya ke Cameron Higlands dan sampai di Simpang Pulai, Ipoh, Perak sekitar pukul 4.30 petang.

Cameron Highlands
Kami meneruskan perjalanan dan tiba di Bandar Tesco Seri Iskandar sekitar 6.15 petang. Perjalanan kami terlewat disebabkan tidak mempercayai GPS dan berdasarkan firasat penunjuk jalan yang was-was dengan laluan yang dilalui menyebabkan kami kerap makan 'buah langsat'.
Makan langsat dalam pekan Gopeng
Sebelum itu aku telah booking sebuah homestay setelah Hotel Putra, satu-satunya hotel yang aku tahu dengan bantuan Pakcik Google telah penuh. Nayli Rumah Tamu menjadi pilihan kami itupun setelah aku medapatkan nombor telefonnya dari sepupu aku yang masih menuntut di UITM Seri Iskandar.
Hasil perbincangan dengan tuan rumah maka aku sekeluarga bersetuju bermalam di situ dengan bayaran RM150.00 semalaman. Rumah ni okey sangat tapi tuan rumahnya aku tidak dapat berkomunikasi dengan lebih rapat atas sebab-sebab kesuntukan masa.
Tuan rumah menunggu kami berdekatan TESCO Seri Iskandar dan rumahnya pula terletak di belakang Tesco tersebut di alamat : No. 12 Persiaran Iskandar Perdana 13, Seksyen 2, Taman Teknologi Seri Iskanda, Perak. Selepas membayar sewa untuk semalaman maka kami semua dapatlah berehat dengan tenang malam itu.
Inilah tuan rumah tapi foto ni aku ambik dari semarak-api.blogspot.
Selepas solat Isyak kami bergerak ke Tesco untuk membeli keperluan dan singgah makan di sebuah Restoran yang aku dah lupa namanya. Kalau tak silap berkaitan Tomyam sebab pekerja-pekerjanya bercakap slang Melayu-Thailand. Menu nasi goreng kampung, nasi goreng pataya, nasi goreng ikan masin, nasi goreng USA dan sup serta minuman jus buah, teh 'beng', milo ' 'beng' dan teh suam maka kekenyanganlah kami malam itu dengan bayaran RM25.00 untuk 6 orang. Kira sangat murahlah tu.
Balik dari Tesco aku terus mencari buah mangga yang aku beli di tesco. Berat mangga 540gm dan harganya RM4.43sen sebiji.

 Walaupun sebiji aje tapi dapat sepinggan mangga. Bolehlah makan seisi keluarga. Rasanya pun manis dan sangat sedap serta wangi baunya.
 Berkenaan bilik-bilik yang ada di rumah penginapan kami yang mempunyai 3 bilik tidur, 1 bilik air untuk mandi dan 1 bilik tandas yang berasingan, dapur dengan perkakasan memasak serta peti ais, dan ruang tamu yang menempatkan set kerusi dan tv serta set meja makan.
Bahagian depan rumah.
Bahagian porch boleh memuatkan dua buah kereta. Terdapat pasu-pasu bunga yang terjaga kebersihan dan kesuburan pokoknya. Terdapat juga ampai baju boleh lipat mungkin sesuai untuk penyewa yang tinggal lama sikit untuk menjemur pakaian.
Pandangan dari depan bilik air ke ruang tamu.
Bercerita berkaitan ruang tamu pula menempatkan set kerusi kayu dan sebuah tv kecil bersaiz 14 inci. Kami tidak menggunakan pun ruang ini kerana kesibukan melihat ruang kamar yang melambai-lambai.
Meja Makan
Meja makan kami gunakan untuk meletakkan barang-barang yang kami beli dari Tesco. Di ruang tamu juga terdapat rak buku kecil yang menempatkan majalah-majalah seperti Mastika, Wanita, Hrmoni, dan keluarga tetapi kesemuanya majalah lama dan aku sempat membaca majalah Perempuan tahun 2006. Majalah juga sudah agak lusuh dan tiada majalah terbaru pun. Sekadar untuk jadikan sebagai mengisi masa sebelum lelapkan mata.
Bilik tidur utama dengan aircond
Bilik tidur utama menempatkan sebuah katil bersaiz Queen dan sebuah almari baju. Di dalam almari baju terdapat comforter dan bantal serta tilam kecil. Penyangkut baju juga disediakan melebihi untuk 10 orang. Terdapat juga rak tuala dan sejadah serta telekung solat wanita dan kanak-kanak. Dua helai tuala juga disediakan. Aku tidak menggunakan tuala yang disediakan kerana aku lebih selesa mengguna tuala mandiku sediri.  Bilik utama ini juga terdapat aircond. Malam itu aku tidur sendirian di atas katil sementara bondaku terlena dalam telekung solatnya di atas tilam kecil. Mulanya aku jenuh mengajak bonda untuk sama-sama tidur di atas katil tetapi bonda cakap hendak solat dahulu dan akhirnya aku terlena sehingga subuh begitu juga bondaku dan adik bongsuku.
Bilik tidur kedua dengan 2 katil bujang
Bilik ke-2 pula menempatkan 2 buah katil bujang serta kipas siling dan sterika board. Kedua adik perempuanku tidur di bilik ini.
Bilik ke-3 dengan 1 katil bujang.
Bilik ke-3 agak tersorok ke belakang pula menempatkan satu katil bujang dan sejadah. Adik lelakiku yang tidur di bilik ini.
Dapur yang selesa dengan peti ais dan peralatan memasak.
Bahagian dapur pula agak sempit (Sebab aku dah biasa dengan dapur di rumahku yang luas). Sebuah peti sejuk yang kecil juga disediakan. Dapur gas dan tong gas beserta peralatan memasak disediakan di dalam lamari kabinet. Pinggan mangkuk, periuk kuali, sudu garpu dan pisau tersusun kemas di dalam kabinet dapur.
Bahagian tandas selesa juga sebab terletak berasingan dari bilik mandi. Bilik mandi disediakan 'shower' dan 2 ketul sabun kecil. Bolehlah boleh....

Hari Lapor Diri Di UITM Seri Iskandar
Pagi itu kami keluar sekitar pukul 9.30 pagi ke kampus UITM untuk sesi pendaftaran. Kami memandu masuk ke dalam kawasan universiti dengan panduan pandu lalu dan polis bantuan yang dedikasi. Namun kesilapan berlaku juga apabila adikku yang mendaftar di bahagian Kolej Pasir Salak Block Damar tetapi di kertas sticker yang diberi menunjukkan Kolej Seri...(Lupa nama plak) blok Damar. Bila kami ke tempat tersebut di beritahu di situ 'Registration' adalah untuk pelajar lelaki sahaja. Maka kami pun terpaksa berkereta pula ke Kolej Pasir Salak. Sesi pendaftaran tak sampai pun 10 minit tapi sesi memanjat tangga ke tingkat 3 Block Damar itu yang mengambil masa. Bondaku tidak dapat memanjat tangga yang berpusing dan memeningkan itu. Kesian plak kat adikku yang terpaksa duduk di tingkat 3 itu untuk urusan pengajiannya.
Adikku ditempatkan di bilik di situ bersama 3 orang lagi pelajar perempuan antaranya dari Ipoh, Perak dan dari Kedah. Mereka berempat berlainan course dan tempoh pengajian. Ada yang hanya 6 bulan sahaja dan ada yang tiga tahun. Adikku nampaknya bersedia dari segi mental dan fizikal almaklumlah dia baru habis PLKN pada Oktober lepas. Semoga dia dapat menghadapi situasi di rantauan dengan tabah dan jayanya.

Selepas menghantar adik dan selesai sesi pendaftaran lebih kurang pukul 4.00 petang kami berlima bertolak balik. Perjalanan kami agak mencabar juga kerana hujan lebat semasa meninggalkan bandar Seri Iskandar. Kami sampai di Cameron Highlands sekitar pukul 5.30 petang. Cuaca pun dah okey kami bersetuju ke Brinchang untuk beli buah strawberry dan lain-lain. Semasa kami sampai cuaca mula berubah dan hujan turun renyai-renyai. Semasa singgah isi minyak di Shell Brinchang tiba-tiba baru perasan kereta buat hal sekali lagi. Bila panggil mekanik dengan bantuan seorang kenalan baru di situ kereta jadi okey pula. Memeningkan betul kepala kami jadinya.
Bila kereta dah okey kami bertolak balik tanpa membeli apa-apa pun di pasar malam Brinchang. Kami hanya singgah di tepi jalan (tak tau nama tempat) dalam hujan renyai-renyai dan beli strawberry coklat, jambu jeruk vanilla epal, buah strawberry dan sayur RM1. Petang itu juga kami sempat beli jagung susu yang boleh di makan mentah? Enak juga tapi takut kembung perut pulak.

Kami bertolak balik dengan kereta yang membuat ragam sepanjang perjalanan terutama di kawasan berbukit yang sunyi. Kami pakat ramai-ramai berdoa dan membaca Surah Ayat Kursi dan apa sahaja doa agar kami selamat sampai. Sudahlah kawasan itu sunyi pada waktu malam dengan kenderaan kami yang hanya mampu bergerak selaju 5-20km/jam perjalanan penuh 'horor' dan debaran. Kalaulah tidak fikir aku perlu kerja dan tidak dapat cuti esok semestinya aku akan mengajak keluargaku bermalam di situ menikmati cuaca yang mencengkam kesejukan. Alhamdulillah kami selamat sampai sekitar pukul 1.00 pagi setelah menempuhi perjalanan yang agak menyeramkan di tengah belantara hutan Cameron ke Lojing- Kuala Betis.

Friday, 22 November 2013

Awas !!! Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi

Aku terbaca satu artikel kat Hangit Blog berkaitan dengan pemakanan yang aku rasa perlu kongsi dengan semua orang. Tolong sebarkan ini kepada Saudara kita yang lainnya agar berhati hati dalam memilih makanan.

Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi...
Mungkin banyak umat Islam tidak tahu bahawa label label yang bertulis 'This product contain substance from porcine. Sebenarnya bermaksud 'Produk ini mengandungi bahan daripada babi'. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah 'The source of gelatin capsule is porcine' yang bermaksud 'Kapsul dari gelatin babi'. 

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi: 
  1. Pork: Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan.
  2. Swine: Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi.
  3. Hog: Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50 kg.
  4. Boar: Babi liar.
  5. Lard: Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun.
  6. Bacon: Daging haiwan yang disalai, termasuk babi.
  7. Ham: Daging pada bahagian paha babi.
  8. Sow: Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan).
  9. Sow Milk: Susu babi.
  10. Pig: Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50 kg. 
  11. Porcine: Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi.
 Sebarkanlah kepada semua saudara-saudari kita gar lebih berhati-hati. Semoga Allah S.W.T akan membalas jasa anda serta memelihara kita di dunia dan di akhirat jua. 

Saturday, 12 October 2013

Pagi Sabtu Yang Ceria

Hari ini sudah 12hb Oktober 2013, hari Sabtu masa yang sesuai untuk berehat. Seawal 5.40 pagi bangkit dari tidur dan bersolat subuh kemudian mencuci pakaian, sempat menjenguk nasi dalam periuk yang sengaja di masak lebih malam tadi. Sementara menunggu kainan siap di mesin aku memotong bawang dan sayur sawi. Dalam mindaku hari ini, aku nak masak nasi goreng untuk keluargaku.
Encik abe datang menjenguk di dapur dan bertanya adakah aku hendak ke pasar pagi Sabtu di Guchil. Aku teringat beberapa barang yang perlu aku beli sempena raya yang sudah dekat. Mujurlah pakaian untuk keluarga telah awal-awal aku beli tidaklah aku perlu bekerja ke pasar raya untuk beli baju raya keluargaku.
Sambil mengupas bawang otakku ligat berfikir 'planner' sepanjang hari ini. Semalam aku merancang untuk berehat sahaja di rumah. Tetapi apabila diajak ke pasar pagi yang sudah lama aku tidak kunjungi, maka aku terus bersetuju...

pukul 7.58 pagi waktu ini akan bersambung selepas balik pasar.

Saturday, 5 October 2013

Diari Baru Cerita Baru

Assalamualaikum..
Hari ini sudah menjengok hari ke-5 di bulan Oktober. Bermakna lagi dua minggu akan menjenguk pula Hari Raya Haji. Aku pula sudah masuk minggu ke-2 menjadi warga Pasir Mas. Keletihan, kelelahan dan segala penat jerih aku harungi dan sabar menghadapi... seawal pukul 4.00 pagi sudah bangun dari tidur dan bergegas ke bilik air. (Syyy... sebenarnya jam loceng di kepala katilku yang berbunyi nyaring pukul 4,00 pagi tetapi aku asyik postpone hingga pukul 4.30 pagi baru terburu-buru berkejar ke bilik air.)
Pukul 5.30 pagi aku sudah berada di atas jalan raya meredah kedinginan pagi di temani embun yang mula menitis. Azan subuh pukul 5.45 pagi aku berhenti di Stesyen minyak Caltex ataupun pukul 6.00 pagi di di Stesyen Minyak Shell Kuala Krai untuk solat subuh sebelum meneruskan perjalanan ke destinasiku. Memandu kereta di waktu dinihari, kedinginan yang mencengkam, sekali sekala berlumba-lumba dengan lori balak, lori kargo yang membawa bijih, dan segala jenis kenderaan berat di jalan raya membuat aku tidak berhenti-henti bertasbih, bertahmid dan berselawat sepanjang perjalanan agar aku tidak lalai semasa pemanduan. Ketenangan menusuk kalbu apabila ayat-ayat zikrullah membasahi bibirku dan menyelami hatiku. Semoga perjalananku sentiasa dalam keberkatan dan dilindungi oleh-Nya.
Ketika aku sampai di Tanah Merah sekitar pukul 6.35 pagi berhenti mengambil temanku dan meneruskan perjalanan. Sekitar pukul 6.45 pagi pemanduan akan menjadi perlahan kerana waktu ini budak-budak sekolah mula berada di atas jalan raya.
Aku akan tiba di tempat kerja biasanya pukul 7.40 pagi. Bergegas untuk punch card dan memulakan kerjaku.
Sepanjang dua minggu ini aku belajar banyak benda baru. Masa menjadi terlalu cemburu untukku dan aku perlu berhati-hati menyusun jadual waktuku agar aku tidak keterlewatan di dalam kerjaku. Banyak masa aku perlu kejar tetapi aku mengaku aku kelelahan. Pukul 8.00 malam baru aku akan tiba di rumah.
Sepanjang perjalanan menimba ilmu ini banyak benda aku pelajari dan lihat. Kenderaan dan manusia di jalan raya banyak memberi aku ilham untuk mencoret sketsaku tapi aku aku terpaksa lupakan seketika minatku ini kerana aku boleh lupa pelajaranku semata-mata kerana berkarya.
In sha Allah selepas tamat pengajianku ini aku akan tumpukan untuk menyiapkan manuskrip novelku yang hanya tinggal beberapa bab lagi untuk ditamatkan jalan ceritanya. Aku ada 10 tajuk yang masih menunggu giliran untuk disiapkan. Aminnnn....

Saturday, 7 September 2013

Nasi Goreng Kampung dan DNA Rambut...

Termenung sendirian dalam perjalanan menaiki bas Transnasional dari bandar KK ke KL memberi aku idea untuk aku mencoret cerita merapu lagi di sini.
Saban minggu aku mula belajar untuk memanafaatkan pengangkutan awam ini yang telah aku lupakan hampir 8 tahun yang lepas. Aku ingat kali terakhir aku menggunakan bas awam tahun 2005 dari Temerloh ke KL. Semenjak itu aku tidak pernah mengeluarkan satu sen pun duit aku untuk membayar tambang bas sehinggalah bermula Ogos 2013 aku terpaksa terhegeh-hegeh belajar mengguna bas sebagai pengangkutan wajib untuk aku saban hujung minggu.
Kali pertama aku menaiki bas setelah sekelian lama tidak memanafaat pengangkutan ini ialah pada 30/8/2013.
Malam itu, malam sambutan 'Kemerdekaan Negara Kita' yang ke 56 tahun. Mulanya dari tempat penginapan aku tidak bercadang untuk pulang bercuti kerana dalam kepalaku ialah... 'Aku takut naik bas'. Teman-teman semua bertungkus lumus mengangkat beg untuk pulang ke kampung sementara aku pula kegelisahan di bilik penginapan kerana memikirkan aku perlu bersendirian di sini kerana teman-teman akan balik ke rumah masing-masing. Akhirnya jam 6.00 petang aku cuba melayari internet mencari tiket bas. Dari laman web bas Sani, Perdana dan Mahligai semuanya trip sudah penuh. Aku rasa amat kecewa sangat masa itu. Akhirnya aku cuba telefon kaunter tiket bas MUTIARA. Jawaban dari kaunter tiket itu amat melegakan hatiku.
" Kami masih ada dua tiket untuk dua seat. Kalau kakak nak kena cepat datanglah."
"Encik, saya seorang sahaja. Boleh tak encik simpan tiket itu untuk saya nanti pukul 6.30 petang saya pergi ambik," ujarku separuh merayu.
Maka selepas itu aku pun menyumbat barang-barang keperluanku ke dalam beg sandang.
Tepat pukul 6.00 petang aku dengan teman-teman yang sudah ada tiket bas bergerak ke Hentian Putra. Menaiki LRT dari Bangsar dan pertukaran di Masjid Jamek ke PWTC maka aku pun berlarian ke kaunter tiket bas. Masa tu memang ramai orang yang menunggu bas. Beberapa penjual tiket menengur ramah bertanyakan tiket. Aku dengan 'sombongnya' terus ke kaunter tiket bas MUTIARA.
Namun rupanya hanya sekadar perjanjian melalui telefon, pertama kalinya aku rasa sangat kecewa dengan sekeping tiket bas yang belum aku miliki.
"Tiket dah habis..!"
"Tadi saya ada telefon pasal tiket tu."
"Telefon, telefon apa buktinya ....?"
Aku malas nak bercerita apa seterusnya terjadi kerana selepas itu aku berlari dari satu kaunter ke satu kaunter sehinggalah seorang penjual tiket bas tambahan menegurku dan bertanya menghulur tiket yang masih kosong. Aku terus bersetuju dan membayar harga tiket RM44.00. " Single seat, No.9 kak. Bas bergerak pukul 9.00 malam. Bas kami ada kat luar."
Lepas satu beban. Mula terbayang keluarga di kampung.
Kemudian bila tiket dah ada, baru perut terasa lapar. Tapi sebelum tu kami singgah solat maghrib dan seterusnya 'Jamak' sekali dengan Isyak di surau yang disediakan di Hentian Putra itu.
Aku dan teman seterusnya ke tingkat atas menuju ke 'food court' menjamu selera. Aku dan teman-teman memilih makan di Gerai 'Putra Bihun Sup'. Aku seperti biasa " Nasi Goreng Kampung , Satoo..."

Menunggu nasi siap di goreng, aku order tea ais kemudian berebut meja dengan pelanggan lain pula untuk memenuhi perut yang mula bergelora.
Senyum kelegaan perutku apabila nasi sudah sampai. Suapan dimulakan dengan doa makan dan seterusnya tegukan teh ais yang menyamankan tekak.
Nasi goreng kampung yang dihidangkan juga tidak megecewakan. Namun apabila masuk suapan ke dua mata tertuju ke arah sesuatu.
Sehelai rambut di celah butiran nasi goreng
 Aku melihat sehelai rambut terletak elok di dalam pinggan nasiku terselit di celah-celah butiran nasi yang menyelerakan itu. Selera makan jadi kendur. Aku mengunjukkan kepada temanku.
"Alahai DNA sapalah pula kali ni..." Seperti biasa aku yang paling kuat menceceh. Teman-teman mula menolak pinggan nasi ke depan. Salahkah aku mematikan selera mereka juga kerana nasi di pinggan mereka adalah datang dari kuali yang sama dengan nasiku yang sudah bergaul rapi dengan sehelai rambut itu.
Akhirnya aku dengan berat hati membawa nasi itu ke dapur tempat makcik itu memasak. Sperti biasa mataku liar memandang sekeliling dapur tahap C itu. Aku dengan sopan meletakkan pinggan nasiku ke sisi dapur memasak makcik itu.
"Kenapa  dik ?" Tegur makcik itu ramah.
"Maaflah makcik. Nasi saya ni ada rambut kat dalam."
"Ada rambut ? Datang dari mana ? Makcik pakai tudung masa masak.." jawab makcik tu sambil memandang ke arahku yang juga bertudung rapi.
"Tak pastilah saya makcik. Tapi rambut ni kat celah-celah nasi ni ."
" Adik ambik ajelah nasi yang atas meja tu ," ujar makcik itu sambil menunjukkan ke arah belakangku. Aku berpaling ke sisi melihat 3 pinggan nasi goreng yang sudah siap terhidang di dalam pinggan di atas meja di dapur sempit itu.
"Tak mengapalah makcik. Terima kasih ya." ujarku lalu keluar dari dapur yang sempit itu tanpa mengambil nasi lain sebagai pertukaran. Dari pemerhatianku sukar juga aku hendak mencari dari mana datangnya rambut itu tapi apa yang aku perhatikan tadi ada sipi-sipi jawapannya. Makcik itu dan semua pekerja di dapur bertudung semasa berada di situ saat itu. Tetapi wajah makcik itu dengan kelihatan kepenatan mungkin seharian berada di dapur yang panas itu sehinggakan tudung yang dipakainya juga sudah senget. Kelihatan beberapa helai rambutnya juga sudah terkeluar dari tudungnya yang yang tidak terurus lagi. Sekarang agak-agak korang sama tak dengan apa yang aku fikirkan? Lu fikirlah sendiri... Ambik ayat Nabil Raja Lawak plak.

Thursday, 29 August 2013

Nasi Goreng Ayam Penyet Oh Pedal Terpenyet

Kebelakangan ini aku agak sibuk dengan kuliah. Hampir sebulan lebih memasuki era sebagai pelajar ini aku masih cuba untuk membiasakan jadual waktu yang baru. Sebelum ini aku sudah serasi dan bebas dengan atauran rutin yang hampir berpuluh tahun melakukan benda yang sama.
Kini bergelar pelajar 'Veteran' membuat aku rasa satu bebanan dan sedikit tertekan untuk mengubah rutin harian hidupku. Sebelum ini aku tidak perlu risau tidur lewat malam dan akan bangkit esok pagi selewatnya pukul 6.00 pagi dan masih tetap segar ke tempat kerja. Kini aku perlu atur tidurku dengan lebih teliti. Sekiranya aku terlewat tidur kerana menyiapakan tugasan yang di beri oleh lecturer atau terlebih mengadap buku sehingga larut malam, maka esoknya aku akan bangun dengan rasa yang sangat 'kemalasan'. Apabila lecturer berada di depan , aku pula mula teranggguk lebih kefahaman. Hakikatnya jasadku tercongak di situ tetapi hati, jiwa dan mindaku entah ke mana... mujur tidak meleh air liur sahaja..
Aku rasa lelah sangat kerana satu penyakit yang paling aku takuti iaitu terlelap semasa lecturer mengajar di depan kelas mula menghimpit hidupku. Aku cuba menangkis agar tidak mengantuk tetapi sememangnya aku gagal untuk atasinya.
Cerita Nasi goreng Ayam Penyet pula berlaku kepada temanku minggu lepas.
Kami berempat suka sangat makan kat KL Sentral selepas tamat kelas pukul 5.00 petang kami akan berlari ke LRT Bangsar dan menaiki LRT ke KL Sentral. Sebelum ini kerap kali dan boleh dikatakan berturut hari kami akan makan kat gerai No.8. Pada hari tersebut aku memesan nasi goreng kampung sementara temanku yang lain dengan menu pilihan yang pelbagai. Seorang teman pula memasan Nasi goreng Ayam Penyet. Dia boleh dikatakan setiap hari makan nasi goreng ayam penyet ni.
Aku pun tak reti nak bercerita sangat suasana masa itu sebab kami khusyuk makan menu pilihan kami sambil berbual dan bercerita pasal assignmen yang hendak di buat. Tiba-tiba teman yang makan Nasi Goreng Ayam Penyet tu menolak pinggan ke tepi.
" Cuba korang tengok lauk ayam ni. Sama tak dengan apa yang aku nampak..." ujarnya kemudian menguis dengan garpu ayam yang hampir separuh sudah di makannya.
Kami pun turut sama menguis lauk ayam itu dan mengorek keluar isi ayam itu. Masya Allah, buntang mata kami melihat pedal ayam dan taik2 ayam. Memang nak termuntah melihatnya. Eeeiii pengotornya.
Kami mengesyorkan agar di bawa kepada penjual tu semula tetapi temanku itu alasannya tidak mahu buat bising kerana moodnya yang dah berubah tu. Maka tidak sampai lima minit kami pun tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dengan tekad tak nak makan lagi kat gerai itu walaupun makanannya sedap.
Aku tidak faham kenapa perkara seperti ini boleh berlaku ? Adakah disengajakan atau memang resepi macam tu? Jijik juga melihat 'dedak ayam' yang keluar dari pedal tu. Bagaimana kebersihan tempat makan tersebut yang di gredkan sebagai gred B serta mendapat sijil halal ? Pekerja di kaunter semasa itu seorang perempuan yang bercakap slanga Indonesia. Manakala pekerja di bahagian dapur pula ialah seorang lelaki. Kalau dilihat luaran kebersihan adalah amat baik. Pekerja di dapur memakai topi dan berapron. Di bahagian kaunter juga bertudung. Di dinding juga terletak sijil Halal dan Gred B. Tapi kecuaian atau ketidak prihatin terhadap pengekalan kebersihan maka peristiwa ini berlaku. Dimanakah silapnya ?
Aku tersilap juga kerana tidak membuat laporan lebih awal namun selepas bercerita dengan ramai orang dan peristiwa ini sudah seminggu berlalu baru terfikir untuk membuat laporan. Tapi kepada siapa dan untuk apa aku tidak pasti.

Sunday, 11 August 2013

Aku Nak Balik Raya daa...

Raya dah seminggu berlalu dan aku juga sudah seminggu juga berkuliah. Mood raya tahun ini tidak sehebat tahun lepas kerana aku seakan terkejar-kejar untuk mengejar banyak benda dalam 'planning raya' akhirnya aku jua yang kelelahan.
Aku bersyukur kerana raya kali ini lecturer aku bagi kelepasan untuk kami bercuti sehari awal sebelum raya. Maka kelas pada hari Rabu 7hb August itu dibatalkan dan direkodkan sebagai cuti projek. Terima kasih. Terima kasih. Kalau masuk kelas pun minda hanya terbayangkan nak balik beraya sahaja, maka lecturer aku yang sudah faham dengan 'feel' student veteren macam kami ini yang hanya nampak persiapan raya untuk keluarga daripada 'slide show power point' kat depan kelas.
Aku balik dengan adikku dari Melaka dan bertolak dari Bangsar selepas pukul 8.40 malam. Perjalanan untukku yang sudah lama tidak alami suasana semangat nak balik raya ini bagiku amat meletihkan fizikal dan minda. Keluar dari Bandaraya Kolumpu trafik berjalan lancar tetapi sampai di tol Gombak seakan berebut-rebut untuk bayar tol. Selepas itu masuk pulak bandar Bentong... aduh aku rasa nak jalan kaki sahaja balik. Bukan setakat trafik light je tapi susunan dan deretan kenderaan di atas jalan membuat aku rasa thrill sangat nak balik raya. Hampir sejam lebih juga hendak melepasi bandar Bentong ini. Kebiasaannya tak sampai pun 15 minit untuk melepasi bandar ini tapi kali ini aku rasakan tak berani nak lihat jam pun untuk mengira berapa lama kenderaan kami berada di atas jalanraya di bandar ini.
Selepas melepasi bandar Bentong aku mula melentok kepala, kebosanan sepanjang perjalanan diterangi kegelapan di luar. Kebiasaan sebelum ini aku atasi kebosanan dengan mengenggam stereng kereta dan menekan pedal minyak tetapi bila menumpang kereta adik aku ini membuat aku jadi stress bila hanya duduk terperok di seat belakang. Adik aku ini lebih suka dia sendiri yang memandu walaupun dia tahu aku 'pakar ' di jalan ini tapi kalau aku dengan adik aku ini pasti tak ada peluang untuk aku pegang stereng walaupun guna kereta aku apatah lagi keretanya sendiri lagilah aku tak payah berangan. Adik aku ni nak kakak dia berehat aje jadi mem kat seat belakang.
Walaupun terlelap juga tetapi aku kerap terjaga sebab sakit leher tidur kat seat kereta tak sama dengan tidur di atas katil. Apa ketidaknya kepala asyik terhantuk kat pintu kereta maklumlah struktur jalanraya kat negara ini terutama sepanjang perjalanan ini bukannya rata mendatar, banyak jalan yang berlubang dan berlopak daripada yang rata. Selekoh biasalah namakan jalan raya. Maunya bengkak kepala terhantuk kat pintu. 
Akhirnya disebabkan oleh 'driver' aku yang berhenti rehat dan terlelap lama kat Hentian Gua Musang maka pukul 7.34 pagi kami sampai dengan selamatnya ke destinasi. Encik Abe aku dah menunggu kat rumah bondaku.
Maka kali ini dapatlah aku beraya bersama keluargaku.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 2013.


Saturday, 10 August 2013

Selamat Hari raya Aidilfitri 2013

Hari ini dah masuk hari ke-3 umat Islam beraya Aidilfitri.
Ada yang dah dua hari puasa enam. Ada yang masih berkira nak puasa esok dan ada juga yang merancang nak berpuasa tahun hadapan. Aku... masih merangkak-rangka menekan keyboard lappy menyusun ayat untuk cerita sempena bulan Syawal kali ini.
Puasa Ramadhan, sudah berlalu walaupun hati masih berkira dan terselit terkilan kerana ada beberapa niat dan hasrat murni sempena bulan Ramadhan yang tidak dapat ditunaikan sepenuhnya. Puasa bilangan hari tidak cukup sebulan seperti orang lain di atas sebab-sebab yang dihalalkan sebagai seorang wanita tetapi perkara-perkara sunat masih jauh untuk dijangkau.
Fadhilat Ramadhan sukarnya untuk disempurnakan. Peperangan melawan hawa nafsu ternyata aku kalah jua.
" Jom, pergi terawih.." ajak temanku. Dia sudah bertelekung solat dengan sejadah solat dijinjingnya.
" Hang p dululah. Jap lagi aku p.." balasku yang masih menyusun pinggan-pinggan bekas makanan selepas berbuka pada hari itu. Akhirnya solat maghrib pun terkejar-kejar kerana melayan nafsu makan.
Bila siap solat maghrib, rehat jap sambil layan surat khabar yang tak siap baca siang tadi.
Azan Isyak berkumandang baru nak kemas surat khabar tu.
" Woit, aok tak mau pegi terawih ke?" tegur plak sorang teman lain. Dia terjengul kat pintu bilik aku sambil jinjing baldi yang penuh dengan pakaiannya.
" Eh! Aok nak p basuh baju ke? Koi nak ikut lah sekali. Banyak baju koi lam baldi tu.." balas aku sambil jeling kat baldi bawah katil. Akhirnya aku berterawih kat bilik air cuci baju bersama teman aku yang keuzuran...
" Cik Kak, tak sir g terawih ko? " sorang lagi teman yang lalu kat depan bilik air menegur. Dia sudah siap bertelekung hendak ke surau.
" Mu g lah dulu. Male ni kawe tok g. Nak basoh baju sebeldi ni..."
Itulah di antara sketsa yang aku kerap alami yang menggagalkan niatku untuk berterawih. Niat ada tapi tidak sama dengan nawaitu dan kawalan fizikal maka aku kerap gagal untuk menyempurnakan solat terawih untuk kali ini.
Akhirnya puasa sebulan sampai ke penghujungnya.
Aku tidaklah ghairah sangat nak beraya semenjak dah menajdi mak si dara ni. Kepala fikir keperluan anak-anak yang jauh nun di mata. Baju raya anak dah beli tapi tidak sempurna rasanya. Tahun ni aku tak dapat beli baju sedondon. Masa awal-awal puasa harga baju raya mahal amat untuk aku yang bajet ciput ni.
Bila dah dekat ke penghujung puasa maka adalah sikit-sikit offer oleh pusat membeli belah. Aku pula yang tak tahan dugaan bersama-sama memeriahkan jualan raya sanggup berjalan kaki ber'LRT' dari Bangsar ke Jalan TAR semata-mata untuk 'shopping'.
Kecut perut dengan suasana terutama di SOGO. Nak melangkah pun rasa sesak. Aku anggarkan hampir 1000 orang lebih berada untuk setiap aras SOGO dari pakaian Kanak-kanak, Wanita, Lelaki dan kasut-beg dan macam-macam keperluan.
Maka petang itu aku balik tanpa beli apa-apa pun. Itu cerita hari Sabtu. Maka seminggu selepas itu aku sekali lagi menjenguk ke SOGO selepas habis kelas petang. Aku dah merancang untuk berbuka puasa dan shopping baju raya.
Aku bersama 4 orang teman dari Utara naik LRT dan turun di Masjid Jamek. Selepas itu tukar train ke Bandaraya dan turun di SOGO. Kita orang pun berbuka puasa di SOGO. mak ooiii... memang sesak Giler kat SOGO masa berbuka puasa tu. Kami hanya beli segelas jus setiap orang dan aku hanya pilih jus tembikai untuk berbuka puasa petang itu.
Kami menikmati minuman kami sambil berdiri kerana tempat duduk sudah dipenuhi. Setengah jam selepas itu adalah seorang awek yang baik hati memberi tempat duduknya untuk kami. Kami segera mendapatkan meja itu. Seorang kawan ditinggalkan untuk menjaga meja dan kami berempat beratur untuk membeli makanan. Aku beli nasi dan menu kampung siap dengan ulam daun selom.
Bila dah siap makan kita orang bersesak pula kat surau yang terletak dia aras B1 SOGO. Alhamdulillah, di dalam kesibukan 'bershopping' bagai, kewajipan yang satu ini tidak diabaikan. Aku rasa syukur sangat melihat betapa ramainya muslimin dan muslimat bersesak-sesak di surau itu untuk solat. Hampir menitis air mataku melihat situasi itu. Syukurlah jua kerana SOGO menyediakan kemudahan surau walaupun kedudukannya terletak di bahagian bawah bangunan itu. 
Selepas itu kami berlima barulah dapat shopping dengan tenang. Membelek dari satu 'level' ke 'level' lain mencari mana yang berkenan. Poket makin kempis. Duit bonus dah habis dan duit terselit terpaksa digunakan. Kad Kredit pun terketar-ketar masa dihulurkan dan tangan pun dah lenguh gara-gara membelek susunan pakaian yang bertimun minta pemerhatian.
 Aku leka memilih baju untuk si puteri di rumah. Cantik gaun-gaun yang di pamerkan. Belek dan belai dengan lembut, terbayang dah di mata bila si puteri pakai baju ni nanti. Kalau ikutkan hati yang dah gelap rambang tengok baju yang tergantung aku rasa nak borong semuanya tapi bila fikir kesian plak kat En.Hubby yang akan membayar kad kredit nanti, dua tiga kali juga aku lurutkan dada sabarkan hati...
Tengok kasut untuk si puteri. Hum.. mesti anggunnya puteriku berdetak-detak melangkah dengan kasut barunya nanti. Itu dah aku bayangkan dalam kepala masa hulur kad kredit kat 'cashier'.
Penangan shopping raya ni merbahaya dan racun . Baju untuk hero-hero pun menyebabkan RM dalam purse seakan menjengok diri. Aku macam pilih kasih pula apabila hanya sepasang sahaja untuk setiap orang puteraku sedangkan untuk puteri terlebih sikit. Baju untuk Gugurl memang cantik iho...
Cerita di SOGO berakhir sehingga pukul 10.00 malam. Maka pada pukul 10.15 malam aku and the geng santai pula di meja KFC kat Pertama Complex.
Kami balik kira-kira jam sudah 12.30 malam.





Tuesday, 6 August 2013

Perantau di Bulan Ramadhan.

Hari ini merupakan hari ke-28 umat kita berpuasa. Ramadhan semakin berlalu meninggalkan kita. Rasa sedih dan sayu untuk berpisah tetapi Ramadhan kali ini banyak benda yang aku tidak dapat capai. Terawih juga banyak ketinggalan.
Malam ini juga akan diadakan majlis kiamullai bermula pukul 3.00 pagi. Insya Allah aku akan cuba untuk bangun dari lenaku untuk hadir ke majlis itu.

Hari ini juga genap 15 hari aku menjalani kehidupan baru di rantauan. Walaupun jarak hanya 400km++ terpisah jauh dari keluarga tetapi kerinduan itu sering bertandang mengetuk hatiku lebih-lebih lagi apabila bersendirian menikmati juadah berbuka. Aku rasakan kehadiran aku di sini bagaikan satu cabaran yang besar untuk diriku kerana ketika ini bulan puasa dan aku terkenang juadah yang dimasak oleh bonda di kampung.
Dua minggu aku di sini banyak benda dan perkara baru aku tempuhi. Aku dapat berkenalan dengan teman-teman baru serta dapat berjumpa kembali dengan teman-teman lama yang telah terpisah lantaran tugas dan jarak yang berbeza.

Thursday, 11 July 2013

Berbuka Puasa Sendirian

Hari ini merupakan hari kedua umat Islam di seluruh Malaysia berpuasa. Aku pula petang ini berbuka puasa sendirian di rumah.
Sebenarnya aku bercadang untuk berbuka puasa di rumah bonda tetapi sedikit kecuaian maka aku bersendirian di rumah. Boboy berempat beradik sudah berada di rumah bonda. Aku selepas balik kerja tadi singgah di rumahku untuk menukar pakaian. Mulanya rancang hendak membasuh baju tetapi terlihat air di sinki bukan sahaja keruh tapi hampir berlumpur menyebabkan aku membatalkan niat untuk memesin pakaian yang ada sebakul. Terasa juga tercabar kesabaran kerana air paip yang keruh semenjak aku bangun masak nasi bersahur pukul 4.00 pagi hinggalah aku balik kerja air paip masih tidak berubah warna.
Siapa yang harus dipersalahkan sekiranya air paip sekeruh ini? Semalam hujan lebat dan air paip juga sekeruh air sungai. Aku perhatikan air di bilik air juga keruh kerana lumpur mungkin telah memasuki tangki. Terasa geli juga semasa hendak mencuci muka dan mandi tadi. Semasa berwuduk terpaksa tahan nafas juga berkumur dengan air selut.
Berbalik cerita aku berpuasa sendirian apabila kunci rumah telah aku terlupa letak di dalam poket seluar dan telah masuk ke dalam mesin basuh. Jenuh aku mencari dalam rumah tapi tidak berjumpa. Bagaimana aku hendak keluar rumah tanpa kunci. Kecuaian sendiri maka aku terkuncilah dalam rumah.
Sebelum itu aku telah memasak puding roti untuk kubawa ke rumah bonda dan aku tidak memasak nasi pun sebab hendak berbuka puasa dengan bonda. Maka petang ini aku hanya berbuka puasa dengan puding roti dan jus delima.
Selepas solat maghrib aku berusaha mencari kunci rumah dan terfikir untuk mencari di dalam pakaian yang aku pakai petang tadi. Betul apa yang aku jangkakan. Terkedu aku dengan kecuaian aku sendiri. Mujurlah Mr CJ tidak ada, kalau tidak 'confirm' aku akan di tag as 'careless' lagi...
Subuh esok aku merancang untuk ke KL bersama Tyra semata-mata untuk berbuka puasa dengan Mr CJ. Doakan perjalananku selamat.
Itu sahaja coretan aku untuk hari ini.

Wednesday, 10 July 2013

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum.
Selamat Menjalani Ibadah puasa untuk semua umat Islam di seluruh pelusuk alam yang sedang membaca blog aku ini.
Azan subuh di Ramadhan ini membuat airmataku mengalir tanpaku sedari. Hari ini merupakan hari pertama berpuasa.
Izinkan aku memohon maaf seandainya bicaraku yang terlanjur, janjiku yang terabai, hati yang berprasangka dan semua sikap yang menyakitkan. Semoga Ramadhan ini kita dapat membersih dan menyucikan hati kita serta amalan kita.
Sahabatku,
Jika semua Harta adalah Racun maka Zakat adalah penawarnya.
Jika seluruh Umur adalah Dosa maka Takwa dan Taubat adalah ubatnya.
Jika seluruh Bulan adalah Noda maka Ramadhan adalah pemutihnya.

Ramadhan kali ini juga aku terpaksa menghadapi beberapa perkara yang aku sendiri sukar untuk ditepiskan dan perlu laluinya dengan redha.
Muhammad Aiman Hakim
Anak saudaraku Muhammad Aiman telah selamat menjalani pembedahan jantung di IJN. Keadaannya sekarang ini stabil dan beransur pulih. Melihat foto yang di hantar melalui MMS oleh adikku membuat hatiku rasa bersyukur sangat walaupun aku langsung tidak dapat menjenguk diri bertemu mata melihatnya semasa rawatan di IJN. Aku hanya mendapat berita dari keluarga yang lain yang melawatnya. Syukur kepadamu Ya, Allah !
Bukan aku sengaja enggan melawat dia tetapi aku juga telah menerima ujian dengan Penyakit Mata. Aku terpaksa bercuti panjang apabila sakit mata yang biasa melarat menjadi bengkak dan menganggu tugasan harianku. Aku tidak dapat berada bersama perkumpulan orang ramai kerana di khuatiri penyakitku boleh menjangkiti orang lain. Aku juga didapati mengalami 'Allergic Reaction' kepada antibiotic yang digunakan untuk rawatan 'Conjunctivits' sehingga menyebabkan wajahku sembab dan bengkak. Aku terpaksa diberi rawatan dengan steroid 'Prednisolone' untuk mengurangkan simptom alahan itu. Wajahku bukan sahaja jadi bulat seperti 'moonface' tetapi cecair yang menyakitkan sehingga kulit wajahku juga melecet dan melepuh terkena cecair yang keluar dari mataku sendiri kesan alahan antibiotic.
Selama ini aku tidak tahu samada aku alahan antibiotic atau tidak kerana aku tidak pernah mengguna antibiotic jenis ini kecuali untuk rawatan berkait dengan sistem pernafasan sahaja.
Alhamdulillah kini, aku telah sembuh dan hampir sembuh sepenuhnya walaupun mataku masih gatal-gatal dan kadang kala berpasir dan merah. Penglihatanku juga semakin bertambah baik. Syukur kepadaMu Ya, Allah !
Semalam pula di saat menanti ketibaan Ramadhan, aku telah dihubungi oleh pejabat tempatku bertugas bahawa permohonanku untuk melanjutkan pelajaran telah berjaya. Aku dikehendaki melaporkan diri pada 22hb Julai ini. Hatiku berbelah bahagi kerana aku rasa bagaikan aku belum bersedia untuk meneruskan cita-citaku kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, perkara yang aku telah lama tidak lakukan. Ramadhan kali ini aku mungkin berpuasa sendirian di rantauan. Bersahur dan berbuka sendirian. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku hendak hadapi. Mungkin lumrah kepada sesetengah orang tetapi tidak kepada diriku di saat pelbagai masalah lain yang membelenggu diriku ini.
Berilah aku petunjukmu Ya, Allah! Apa yang harus aku lakukan.

Tuesday, 18 June 2013

Aku Rasa Penat Sangat...

Minggu ini aku rasakan minggu yang agak suram untukku. Seminggu lepas aku sibuk dengan urusan kerja yang tidak berkesudahan. Kesibukan dengan kerja membuat aku lupa dengan kerja-kerja yang memenatkan otak dan fizikal.
Bila bercerita pasal penat fizikal ini, aku bukanlah kerja seperti buruh kasar yang membanting tulang empat kerat di tengah panas. Aku masih lagi beruntung dapat bekerja di dalam bilik yang ber'aircond' dengan suhu di bawah 17OC. Namun apabila keluar ke lapangan aku masih boleh bertahan dengan suhu 33OC yang bisa membakar kulitku yang mulus.
Sepanjang minggu lepas aku jarang berada di pejabatku. Travel sejauh 100km+ sehala berkursus selama dua hari seakan memberiku peluang untuk merehatkan minda lari dari bebanan tugasan di pejabat.
Itu cerita minggu lepas.
Minggu ini pula cerita lain dan cerita baru pula. Cerita baru yang menyeronokkan, yang haru dan membuat aku hampir terpilu.
Kerjaku berkaitan dengan masyarakat tidak kira  lelaki atau perempuan, tua muda, kecil besar sehingga yang berstatus warga atau tidak aku hulurkan juga kedua belah tangan membantu menjalankan amanah yang diberi. Selama 14 tahun ini  (sebenarnya 17 tahun termasuk hari pertama aku memasuki industri ini) aku bergelar pekerja, segala pahit maung dan keseronokkan bekerja aku lalui. Ketawa gembira dan sedih pilu serta menangis di sebabkan kerja aku alami.
Sekiranya ditanya samada peristiwa yang menyeronokkan  atau tidak yang paling banyak memberi kesan sepanjang kerjayaku ini? Aku dengan bangganya menipu diriku sendiri "tentulah seronok bekerja".....
Orang cakap perlu keikhlasan dalam bekerja mencari rezeki yang halal. Aku setuju. Walaupun keikhlasan tidak dapat dilihat dengan jelas tetapi keikhlasan itu masih ada di hatiku dalam melakukan kerjaku ini. Kalau tiada keikhlasan tiadalah aku bertahan selama 17 tahun ini berdepan dengan kerjaya ini.
Bukan penyebab kerja ini adalah periuk nasiku tapi KESERONOKKAN bekerja yang aku temui dan kepuasan yang aku dapati apabila sesuatu tugasan dapat diselesaikan dengan jayanya membuat aku tekad dan bertahan dengan kerjaku ini.
Sesetengah orang cakap kerjaku glamour. Macam cerita kat TV tu... Tapi aku menyampah betul tengok cerita kat TV yang gedik semacam tu. Huh! Bestlah kalau cara kerja aku yang sebenar gedik sebegitu. Mengarutlah cerita kat TV tu. Aku dah menyampah nak tengok sekarang ni sebab realiti kerjaku jauh berbeza dengan jalan cerita 'Misiku Kuza'. Bagi aku cerita tu gedik dan menjatuhkan mertabat teman-teman sekerjayaku. Kita orang berkerja takdelah tergedik-gedik camtu. Ehem..! Tak nak komen lebih-lebih sebab aku sekali aje tengok cerita tu pastu sampai sekarang aku tak ingin tengok lagi. Aku mendengar dari mulut teman-temanku yang majoriti menyampah dengan cerita 'Misi Gedik' itu.
Kita sambung pasal cerita akulah pula. Pagi tadi lepas 'punch card', aku bersama doktor K di tempat, aku ke PDK berdekatan. Rutin bulanan ialah memeriksa dan memberi rawatan pelatih yang hadir ke PDK tersebut pada pagi itu. Sebenarnnya jumlah pelatih yang hadir tidaklah ramai sangat tapi kehadiran 14 orang pelatih 'Orang Kelebihan Upaya' di situ mencabar minda juga untuk berdepan dan menjalankan tugas. Aku 'salute' dengan staf di situ yang sabar dan penyayang sangat melayani pelatih-pelatih yang ada. Semenjak setahun mengenali anak-anak istimewa ini aku juga sudah boleh mengingati nama-nama mereka serta 'feel' perangai mereka.  Kerja memujuk lebih banyak dari bantuan lain. Sebab itu aku salute kesabaran staf PDK iaitu Mie, Nurul, Na dan Ayu melayani pelatih-pelatih yang ada. Makan, minum bahkan 'berak kencing' dia orang pun dijaga bersih. Pelatih juga diajar untuk berdikari walaupun kebanyakan alami masalah pembelajaran yang kronik.
Hampir 1jam lebih bersama-sama pelatih di situ, aku pula meneruskan perjalanan ke Pasir Linggi.
Kg.Pasir Linggi adalah perkampungan Orang Asli yang terletak dalam Daerah Gua Musang tetapi bahagian Kesihatan Keluarga adalah di bawah Operasi tempat kerjaku. Aku pula ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut bersama seorang lagi temanku. Skop bidang tugasku untuk orang perkampungan ini sebenarnya melibatkan kesihatan ibu dan anak sahaja tetapi kebelakangan ini bebanan itu semakin bertambah.

Pagi tadi aku TERPAKSA masuk ke kawasan tersebut yang berjarak lebih kurang 30km dari opeh aku. Namun perjalanan mengambil masa hampir sejam lebih disebabkan oleh kelajuan sekitar 30km sejam sahaja. Walaupun jalan berturap tar tapi berbukit bukau, sempit dan bila berselisih kenderaan perlu berhenti. Pagi tadi juga kenderaan yang aku naiki terserempak dengan lori balak yang hendak keluar dari situ sehinggakan hampir 15 minit juga terpaksa berundur ke belakang mencari ruang jalanan untuk lori itu lalui. Jalan pula masa itu mendaki dan mustahil rasanya untuk membiarkan lori itu mengundur kerana dia menghala turun dan jalan berliku dan bercuram sempit di belakangnya. Sumpah...! Demi Allah! Kecut perutku apabila lori itu melintasi kenderaan yang kami lalui.
Aku perhatikan juga walaupun jalan di kawasan ini sempit, berliku dan berbukit bukau, masih ada lagi budak-budak dari luar penempatan ini yang tinggal di pinggir kampung keluar masuk dan melalui jalan ini. Budak-budak ini terutama budak yang sama aku kerap terserempak memandu laju, sehinggakan beberapa kali kenderaan yang aku naiki hampir terbabas kerana mengelak dari terlanggar motor yang terbabas masuk ke lorong kenderaanku. Sumpah seranah dah biasa kita orang hamburkan lantaran terkejut dengan kemunculan diselekoh tajam. Syukurlah kerana pemandu opeh aku sangat cekap dan berhemah memandu. Bahkan kami pernah terserempak dengan budak-budak motor yang menghala 'straight' ke arah kenderaan kami dan tergolek di depan kereta kami. Budak-budak rempit ( aku rasa sesuai gunakan) ini memang lasak dan degil ' babil' ... lepas tu dia orang blah gitu aje sedangkan kenderaan kita orang dah masuk parit mengelak motor rempit hantu tu. Mujurlah pajero yang kami naiki juga lasak. Salute kat Encik O, Encik Z dan En R, pemandu yang cekap dan dedikasi.
Lorong Balak...
Tempat Pembuangan Sampah
Kenderaan kami tiba di Perkampungan itu pukul 11.30 am. Jenuh mencari senarai pesakit yang hendak di bawa keluar seramai 7 orang untuk berjumpa doktor. Biasalah merendah semak dan lalang mencari rumah ke rumah. Bila dah jumpa terpaksa menunggu dia orang bersiap dahulu walaupun dah diberitahu awal-awal agarberkumpul di balai raya. Sebaliknya kami terpaksa menjemput dari rumah ke rumah. Memberi salam. Menunggu mandi dan bersiap. Hingga pukul 12.20pm aku masih mengetuk rumah yang ke-6. Dah siap ajak masuk kenderaan bergerak .... tunggu kumpulan yang awal berjumpa dan tugasanku di kawasan itu selesai pukul 12.45pm.
Penempatan Perkampungan Pasir Linggi

Muhammad Hussin Bin Abd Ghani

CERITA AKU INI AKAN BERSAMBUNG LAIN KALI KERANA JAM SUDAH PUKUL 12.42 PAGI. AKU PERLU TIDUR DULU WALAUPUN MATA MASIH BELUM MENGANTUK TETAPI BESOK AKU PERLU BANGKIT AWAL SEPERTI BIASA PERSIAPAN KE SEKOLAH DAN KERJA...
Misiku Yang Dedikasi
Pandangan dari halaman rumah salah seorang penduduk





Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...