Tuesday 4 December 2018

Bahagian Sulit Kecut & Kemas

Foto sekadar hiasan
Minah menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan suami. Kesesalan mula menerpa menyalahkan dirinya yang tidak acuh akan nasihat ibu kandung, akibatnya dia terseret ke dalam kehidupan 'bermadu'. Bukan sekadar menderita kerana tersiksa batin, tetapi zahir juga menderita, kesihatannya terganggu sejak melahirkan anak ke empat.
Kata orang Minah keluar tombong (bahagian sulitnya terkeluar) kerana tak cukup makan ubat dan tidak menjaga badan sewaktu dalam pantang. Kawan-kawan saling berbisik konon Minah mengikut kehendak suami hingga sanggup melayan suami walau dirinya masih dalam pantang. Akibatnya dia ditinggalkan oleh suami.
Bertahun Minah menderita. Dan paling memalukannya ialah setiap kali dia duduk, kainnya kelihatan basah. Suatu hari saya bercerita tentang masalah yang Minah hadapi kepada ibu saudara. Menurut ibu saudara saya masalah Minah boleh diatasi sekiranya dia rajin bertangas dengan daun duri kemam (daun semalu) untuk tempoh beberapa lama.
Caranya ialah sepokok duri kemam (semalu) yang subur dicabut dengan akarnya sekali, dibersihkan dan ditumbuk pecah-pecah. Sediakan seketul batu sungai yang sekira-kira boleh ditutup dengan tempurung jantan.

Sediakan juga tempurung jantan (bahagian kelapa yang berlobang) yang agak besar dan sedikit cuka makan.
Panaskan batu sungai ke atas api (biar cukup panas) kemudian letakkan di lantai bilik mandi. Letakkan duri kemam (semalu) ke atas batu panas, kemudian curahkan setengah cawan cuka makan. Tutupkan batu itu dengan tempurung dan mencangkunglah di atas tempurung itu dengan memastikan bahagian sulit betul-betul bertepatan dengan lubang yang mengeluarkan wap, sambil kain dikembangkan agar wap terkepung (tidak keluar). Kalau terlalu panas bolehlah berdiri sebentar dan kemudian mencangkung lagi hingga batu tersebut sejuk. Lakukan setiap pagi (kecuali semasa datang haid). Insya'Allah tombong akan beransur mengecut dan akhirnya akan balik kepada posisinya yang asal.
Untuk membantu mempercepatkan kecutnya tombong, minumlah secawan air daun pegaga setiap hari.
Minah yang telah sekian lama menderita zahir dan batin yakin dengan ikhtiar yang disarankan. Tanpa membuang masa dia mencuba resipi yang diberikan ibu saudara saya. Tiga bulan selepas itu Minah memberitahu saya, bukan saja penyakitnya sembuh tetapi badannya semakin kemas. Masalah rumahtangganya juga selesai malah hubungan m,ereka kini lebih erat dari dahulu. Alhamdulillah.
Sekiranya da yang mengalami masalah seperti Minah, bolehlah mencuba petua ini. Selamat mencuba.

#Artikel ini aku baca dari Majalah Jelita keluaran tahun 1995 atau mungkin sebelum itu lagi. Sebab tak ada tarikh, aku pun dah lupa tarikh sebenarnya. Artikel tersebut aku potong dan tampal di dalam buku koleksi petua aku.

No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...