Thursday, 11 July 2013

Berbuka Puasa Sendirian

Hari ini merupakan hari kedua umat Islam di seluruh Malaysia berpuasa. Aku pula petang ini berbuka puasa sendirian di rumah.
Sebenarnya aku bercadang untuk berbuka puasa di rumah bonda tetapi sedikit kecuaian maka aku bersendirian di rumah. Boboy berempat beradik sudah berada di rumah bonda. Aku selepas balik kerja tadi singgah di rumahku untuk menukar pakaian. Mulanya rancang hendak membasuh baju tetapi terlihat air di sinki bukan sahaja keruh tapi hampir berlumpur menyebabkan aku membatalkan niat untuk memesin pakaian yang ada sebakul. Terasa juga tercabar kesabaran kerana air paip yang keruh semenjak aku bangun masak nasi bersahur pukul 4.00 pagi hinggalah aku balik kerja air paip masih tidak berubah warna.
Siapa yang harus dipersalahkan sekiranya air paip sekeruh ini? Semalam hujan lebat dan air paip juga sekeruh air sungai. Aku perhatikan air di bilik air juga keruh kerana lumpur mungkin telah memasuki tangki. Terasa geli juga semasa hendak mencuci muka dan mandi tadi. Semasa berwuduk terpaksa tahan nafas juga berkumur dengan air selut.
Berbalik cerita aku berpuasa sendirian apabila kunci rumah telah aku terlupa letak di dalam poket seluar dan telah masuk ke dalam mesin basuh. Jenuh aku mencari dalam rumah tapi tidak berjumpa. Bagaimana aku hendak keluar rumah tanpa kunci. Kecuaian sendiri maka aku terkuncilah dalam rumah.
Sebelum itu aku telah memasak puding roti untuk kubawa ke rumah bonda dan aku tidak memasak nasi pun sebab hendak berbuka puasa dengan bonda. Maka petang ini aku hanya berbuka puasa dengan puding roti dan jus delima.
Selepas solat maghrib aku berusaha mencari kunci rumah dan terfikir untuk mencari di dalam pakaian yang aku pakai petang tadi. Betul apa yang aku jangkakan. Terkedu aku dengan kecuaian aku sendiri. Mujurlah Mr CJ tidak ada, kalau tidak 'confirm' aku akan di tag as 'careless' lagi...
Subuh esok aku merancang untuk ke KL bersama Tyra semata-mata untuk berbuka puasa dengan Mr CJ. Doakan perjalananku selamat.
Itu sahaja coretan aku untuk hari ini.

Wednesday, 10 July 2013

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum.
Selamat Menjalani Ibadah puasa untuk semua umat Islam di seluruh pelusuk alam yang sedang membaca blog aku ini.
Azan subuh di Ramadhan ini membuat airmataku mengalir tanpaku sedari. Hari ini merupakan hari pertama berpuasa.
Izinkan aku memohon maaf seandainya bicaraku yang terlanjur, janjiku yang terabai, hati yang berprasangka dan semua sikap yang menyakitkan. Semoga Ramadhan ini kita dapat membersih dan menyucikan hati kita serta amalan kita.
Sahabatku,
Jika semua Harta adalah Racun maka Zakat adalah penawarnya.
Jika seluruh Umur adalah Dosa maka Takwa dan Taubat adalah ubatnya.
Jika seluruh Bulan adalah Noda maka Ramadhan adalah pemutihnya.

Ramadhan kali ini juga aku terpaksa menghadapi beberapa perkara yang aku sendiri sukar untuk ditepiskan dan perlu laluinya dengan redha.
Muhammad Aiman Hakim
Anak saudaraku Muhammad Aiman telah selamat menjalani pembedahan jantung di IJN. Keadaannya sekarang ini stabil dan beransur pulih. Melihat foto yang di hantar melalui MMS oleh adikku membuat hatiku rasa bersyukur sangat walaupun aku langsung tidak dapat menjenguk diri bertemu mata melihatnya semasa rawatan di IJN. Aku hanya mendapat berita dari keluarga yang lain yang melawatnya. Syukur kepadamu Ya, Allah !
Bukan aku sengaja enggan melawat dia tetapi aku juga telah menerima ujian dengan Penyakit Mata. Aku terpaksa bercuti panjang apabila sakit mata yang biasa melarat menjadi bengkak dan menganggu tugasan harianku. Aku tidak dapat berada bersama perkumpulan orang ramai kerana di khuatiri penyakitku boleh menjangkiti orang lain. Aku juga didapati mengalami 'Allergic Reaction' kepada antibiotic yang digunakan untuk rawatan 'Conjunctivits' sehingga menyebabkan wajahku sembab dan bengkak. Aku terpaksa diberi rawatan dengan steroid 'Prednisolone' untuk mengurangkan simptom alahan itu. Wajahku bukan sahaja jadi bulat seperti 'moonface' tetapi cecair yang menyakitkan sehingga kulit wajahku juga melecet dan melepuh terkena cecair yang keluar dari mataku sendiri kesan alahan antibiotic.
Selama ini aku tidak tahu samada aku alahan antibiotic atau tidak kerana aku tidak pernah mengguna antibiotic jenis ini kecuali untuk rawatan berkait dengan sistem pernafasan sahaja.
Alhamdulillah kini, aku telah sembuh dan hampir sembuh sepenuhnya walaupun mataku masih gatal-gatal dan kadang kala berpasir dan merah. Penglihatanku juga semakin bertambah baik. Syukur kepadaMu Ya, Allah !
Semalam pula di saat menanti ketibaan Ramadhan, aku telah dihubungi oleh pejabat tempatku bertugas bahawa permohonanku untuk melanjutkan pelajaran telah berjaya. Aku dikehendaki melaporkan diri pada 22hb Julai ini. Hatiku berbelah bahagi kerana aku rasa bagaikan aku belum bersedia untuk meneruskan cita-citaku kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, perkara yang aku telah lama tidak lakukan. Ramadhan kali ini aku mungkin berpuasa sendirian di rantauan. Bersahur dan berbuka sendirian. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku hendak hadapi. Mungkin lumrah kepada sesetengah orang tetapi tidak kepada diriku di saat pelbagai masalah lain yang membelenggu diriku ini.
Berilah aku petunjukmu Ya, Allah! Apa yang harus aku lakukan.