Thursday, 29 August 2013

Nasi Goreng Ayam Penyet Oh Pedal Terpenyet

Kebelakangan ini aku agak sibuk dengan kuliah. Hampir sebulan lebih memasuki era sebagai pelajar ini aku masih cuba untuk membiasakan jadual waktu yang baru. Sebelum ini aku sudah serasi dan bebas dengan atauran rutin yang hampir berpuluh tahun melakukan benda yang sama.
Kini bergelar pelajar 'Veteran' membuat aku rasa satu bebanan dan sedikit tertekan untuk mengubah rutin harian hidupku. Sebelum ini aku tidak perlu risau tidur lewat malam dan akan bangkit esok pagi selewatnya pukul 6.00 pagi dan masih tetap segar ke tempat kerja. Kini aku perlu atur tidurku dengan lebih teliti. Sekiranya aku terlewat tidur kerana menyiapakan tugasan yang di beri oleh lecturer atau terlebih mengadap buku sehingga larut malam, maka esoknya aku akan bangun dengan rasa yang sangat 'kemalasan'. Apabila lecturer berada di depan , aku pula mula teranggguk lebih kefahaman. Hakikatnya jasadku tercongak di situ tetapi hati, jiwa dan mindaku entah ke mana... mujur tidak meleh air liur sahaja..
Aku rasa lelah sangat kerana satu penyakit yang paling aku takuti iaitu terlelap semasa lecturer mengajar di depan kelas mula menghimpit hidupku. Aku cuba menangkis agar tidak mengantuk tetapi sememangnya aku gagal untuk atasinya.
Cerita Nasi goreng Ayam Penyet pula berlaku kepada temanku minggu lepas.
Kami berempat suka sangat makan kat KL Sentral selepas tamat kelas pukul 5.00 petang kami akan berlari ke LRT Bangsar dan menaiki LRT ke KL Sentral. Sebelum ini kerap kali dan boleh dikatakan berturut hari kami akan makan kat gerai No.8. Pada hari tersebut aku memesan nasi goreng kampung sementara temanku yang lain dengan menu pilihan yang pelbagai. Seorang teman pula memasan Nasi goreng Ayam Penyet. Dia boleh dikatakan setiap hari makan nasi goreng ayam penyet ni.
Aku pun tak reti nak bercerita sangat suasana masa itu sebab kami khusyuk makan menu pilihan kami sambil berbual dan bercerita pasal assignmen yang hendak di buat. Tiba-tiba teman yang makan Nasi Goreng Ayam Penyet tu menolak pinggan ke tepi.
" Cuba korang tengok lauk ayam ni. Sama tak dengan apa yang aku nampak..." ujarnya kemudian menguis dengan garpu ayam yang hampir separuh sudah di makannya.
Kami pun turut sama menguis lauk ayam itu dan mengorek keluar isi ayam itu. Masya Allah, buntang mata kami melihat pedal ayam dan taik2 ayam. Memang nak termuntah melihatnya. Eeeiii pengotornya.
Kami mengesyorkan agar di bawa kepada penjual tu semula tetapi temanku itu alasannya tidak mahu buat bising kerana moodnya yang dah berubah tu. Maka tidak sampai lima minit kami pun tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dengan tekad tak nak makan lagi kat gerai itu walaupun makanannya sedap.
Aku tidak faham kenapa perkara seperti ini boleh berlaku ? Adakah disengajakan atau memang resepi macam tu? Jijik juga melihat 'dedak ayam' yang keluar dari pedal tu. Bagaimana kebersihan tempat makan tersebut yang di gredkan sebagai gred B serta mendapat sijil halal ? Pekerja di kaunter semasa itu seorang perempuan yang bercakap slanga Indonesia. Manakala pekerja di bahagian dapur pula ialah seorang lelaki. Kalau dilihat luaran kebersihan adalah amat baik. Pekerja di dapur memakai topi dan berapron. Di bahagian kaunter juga bertudung. Di dinding juga terletak sijil Halal dan Gred B. Tapi kecuaian atau ketidak prihatin terhadap pengekalan kebersihan maka peristiwa ini berlaku. Dimanakah silapnya ?
Aku tersilap juga kerana tidak membuat laporan lebih awal namun selepas bercerita dengan ramai orang dan peristiwa ini sudah seminggu berlalu baru terfikir untuk membuat laporan. Tapi kepada siapa dan untuk apa aku tidak pasti.

Sunday, 11 August 2013

Aku Nak Balik Raya daa...

Raya dah seminggu berlalu dan aku juga sudah seminggu juga berkuliah. Mood raya tahun ini tidak sehebat tahun lepas kerana aku seakan terkejar-kejar untuk mengejar banyak benda dalam 'planning raya' akhirnya aku jua yang kelelahan.
Aku bersyukur kerana raya kali ini lecturer aku bagi kelepasan untuk kami bercuti sehari awal sebelum raya. Maka kelas pada hari Rabu 7hb August itu dibatalkan dan direkodkan sebagai cuti projek. Terima kasih. Terima kasih. Kalau masuk kelas pun minda hanya terbayangkan nak balik beraya sahaja, maka lecturer aku yang sudah faham dengan 'feel' student veteren macam kami ini yang hanya nampak persiapan raya untuk keluarga daripada 'slide show power point' kat depan kelas.
Aku balik dengan adikku dari Melaka dan bertolak dari Bangsar selepas pukul 8.40 malam. Perjalanan untukku yang sudah lama tidak alami suasana semangat nak balik raya ini bagiku amat meletihkan fizikal dan minda. Keluar dari Bandaraya Kolumpu trafik berjalan lancar tetapi sampai di tol Gombak seakan berebut-rebut untuk bayar tol. Selepas itu masuk pulak bandar Bentong... aduh aku rasa nak jalan kaki sahaja balik. Bukan setakat trafik light je tapi susunan dan deretan kenderaan di atas jalan membuat aku rasa thrill sangat nak balik raya. Hampir sejam lebih juga hendak melepasi bandar Bentong ini. Kebiasaannya tak sampai pun 15 minit untuk melepasi bandar ini tapi kali ini aku rasakan tak berani nak lihat jam pun untuk mengira berapa lama kenderaan kami berada di atas jalanraya di bandar ini.
Selepas melepasi bandar Bentong aku mula melentok kepala, kebosanan sepanjang perjalanan diterangi kegelapan di luar. Kebiasaan sebelum ini aku atasi kebosanan dengan mengenggam stereng kereta dan menekan pedal minyak tetapi bila menumpang kereta adik aku ini membuat aku jadi stress bila hanya duduk terperok di seat belakang. Adik aku ini lebih suka dia sendiri yang memandu walaupun dia tahu aku 'pakar ' di jalan ini tapi kalau aku dengan adik aku ini pasti tak ada peluang untuk aku pegang stereng walaupun guna kereta aku apatah lagi keretanya sendiri lagilah aku tak payah berangan. Adik aku ni nak kakak dia berehat aje jadi mem kat seat belakang.
Walaupun terlelap juga tetapi aku kerap terjaga sebab sakit leher tidur kat seat kereta tak sama dengan tidur di atas katil. Apa ketidaknya kepala asyik terhantuk kat pintu kereta maklumlah struktur jalanraya kat negara ini terutama sepanjang perjalanan ini bukannya rata mendatar, banyak jalan yang berlubang dan berlopak daripada yang rata. Selekoh biasalah namakan jalan raya. Maunya bengkak kepala terhantuk kat pintu. 
Akhirnya disebabkan oleh 'driver' aku yang berhenti rehat dan terlelap lama kat Hentian Gua Musang maka pukul 7.34 pagi kami sampai dengan selamatnya ke destinasi. Encik Abe aku dah menunggu kat rumah bondaku.
Maka kali ini dapatlah aku beraya bersama keluargaku.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 2013.


Saturday, 10 August 2013

Selamat Hari raya Aidilfitri 2013

Hari ini dah masuk hari ke-3 umat Islam beraya Aidilfitri.
Ada yang dah dua hari puasa enam. Ada yang masih berkira nak puasa esok dan ada juga yang merancang nak berpuasa tahun hadapan. Aku... masih merangkak-rangka menekan keyboard lappy menyusun ayat untuk cerita sempena bulan Syawal kali ini.
Puasa Ramadhan, sudah berlalu walaupun hati masih berkira dan terselit terkilan kerana ada beberapa niat dan hasrat murni sempena bulan Ramadhan yang tidak dapat ditunaikan sepenuhnya. Puasa bilangan hari tidak cukup sebulan seperti orang lain di atas sebab-sebab yang dihalalkan sebagai seorang wanita tetapi perkara-perkara sunat masih jauh untuk dijangkau.
Fadhilat Ramadhan sukarnya untuk disempurnakan. Peperangan melawan hawa nafsu ternyata aku kalah jua.
" Jom, pergi terawih.." ajak temanku. Dia sudah bertelekung solat dengan sejadah solat dijinjingnya.
" Hang p dululah. Jap lagi aku p.." balasku yang masih menyusun pinggan-pinggan bekas makanan selepas berbuka pada hari itu. Akhirnya solat maghrib pun terkejar-kejar kerana melayan nafsu makan.
Bila siap solat maghrib, rehat jap sambil layan surat khabar yang tak siap baca siang tadi.
Azan Isyak berkumandang baru nak kemas surat khabar tu.
" Woit, aok tak mau pegi terawih ke?" tegur plak sorang teman lain. Dia terjengul kat pintu bilik aku sambil jinjing baldi yang penuh dengan pakaiannya.
" Eh! Aok nak p basuh baju ke? Koi nak ikut lah sekali. Banyak baju koi lam baldi tu.." balas aku sambil jeling kat baldi bawah katil. Akhirnya aku berterawih kat bilik air cuci baju bersama teman aku yang keuzuran...
" Cik Kak, tak sir g terawih ko? " sorang lagi teman yang lalu kat depan bilik air menegur. Dia sudah siap bertelekung hendak ke surau.
" Mu g lah dulu. Male ni kawe tok g. Nak basoh baju sebeldi ni..."
Itulah di antara sketsa yang aku kerap alami yang menggagalkan niatku untuk berterawih. Niat ada tapi tidak sama dengan nawaitu dan kawalan fizikal maka aku kerap gagal untuk menyempurnakan solat terawih untuk kali ini.
Akhirnya puasa sebulan sampai ke penghujungnya.
Aku tidaklah ghairah sangat nak beraya semenjak dah menajdi mak si dara ni. Kepala fikir keperluan anak-anak yang jauh nun di mata. Baju raya anak dah beli tapi tidak sempurna rasanya. Tahun ni aku tak dapat beli baju sedondon. Masa awal-awal puasa harga baju raya mahal amat untuk aku yang bajet ciput ni.
Bila dah dekat ke penghujung puasa maka adalah sikit-sikit offer oleh pusat membeli belah. Aku pula yang tak tahan dugaan bersama-sama memeriahkan jualan raya sanggup berjalan kaki ber'LRT' dari Bangsar ke Jalan TAR semata-mata untuk 'shopping'.
Kecut perut dengan suasana terutama di SOGO. Nak melangkah pun rasa sesak. Aku anggarkan hampir 1000 orang lebih berada untuk setiap aras SOGO dari pakaian Kanak-kanak, Wanita, Lelaki dan kasut-beg dan macam-macam keperluan.
Maka petang itu aku balik tanpa beli apa-apa pun. Itu cerita hari Sabtu. Maka seminggu selepas itu aku sekali lagi menjenguk ke SOGO selepas habis kelas petang. Aku dah merancang untuk berbuka puasa dan shopping baju raya.
Aku bersama 4 orang teman dari Utara naik LRT dan turun di Masjid Jamek. Selepas itu tukar train ke Bandaraya dan turun di SOGO. Kita orang pun berbuka puasa di SOGO. mak ooiii... memang sesak Giler kat SOGO masa berbuka puasa tu. Kami hanya beli segelas jus setiap orang dan aku hanya pilih jus tembikai untuk berbuka puasa petang itu.
Kami menikmati minuman kami sambil berdiri kerana tempat duduk sudah dipenuhi. Setengah jam selepas itu adalah seorang awek yang baik hati memberi tempat duduknya untuk kami. Kami segera mendapatkan meja itu. Seorang kawan ditinggalkan untuk menjaga meja dan kami berempat beratur untuk membeli makanan. Aku beli nasi dan menu kampung siap dengan ulam daun selom.
Bila dah siap makan kita orang bersesak pula kat surau yang terletak dia aras B1 SOGO. Alhamdulillah, di dalam kesibukan 'bershopping' bagai, kewajipan yang satu ini tidak diabaikan. Aku rasa syukur sangat melihat betapa ramainya muslimin dan muslimat bersesak-sesak di surau itu untuk solat. Hampir menitis air mataku melihat situasi itu. Syukurlah jua kerana SOGO menyediakan kemudahan surau walaupun kedudukannya terletak di bahagian bawah bangunan itu. 
Selepas itu kami berlima barulah dapat shopping dengan tenang. Membelek dari satu 'level' ke 'level' lain mencari mana yang berkenan. Poket makin kempis. Duit bonus dah habis dan duit terselit terpaksa digunakan. Kad Kredit pun terketar-ketar masa dihulurkan dan tangan pun dah lenguh gara-gara membelek susunan pakaian yang bertimun minta pemerhatian.
 Aku leka memilih baju untuk si puteri di rumah. Cantik gaun-gaun yang di pamerkan. Belek dan belai dengan lembut, terbayang dah di mata bila si puteri pakai baju ni nanti. Kalau ikutkan hati yang dah gelap rambang tengok baju yang tergantung aku rasa nak borong semuanya tapi bila fikir kesian plak kat En.Hubby yang akan membayar kad kredit nanti, dua tiga kali juga aku lurutkan dada sabarkan hati...
Tengok kasut untuk si puteri. Hum.. mesti anggunnya puteriku berdetak-detak melangkah dengan kasut barunya nanti. Itu dah aku bayangkan dalam kepala masa hulur kad kredit kat 'cashier'.
Penangan shopping raya ni merbahaya dan racun . Baju untuk hero-hero pun menyebabkan RM dalam purse seakan menjengok diri. Aku macam pilih kasih pula apabila hanya sepasang sahaja untuk setiap orang puteraku sedangkan untuk puteri terlebih sikit. Baju untuk Gugurl memang cantik iho...
Cerita di SOGO berakhir sehingga pukul 10.00 malam. Maka pada pukul 10.15 malam aku and the geng santai pula di meja KFC kat Pertama Complex.
Kami balik kira-kira jam sudah 12.30 malam.





Tuesday, 6 August 2013

Perantau di Bulan Ramadhan.

Hari ini merupakan hari ke-28 umat kita berpuasa. Ramadhan semakin berlalu meninggalkan kita. Rasa sedih dan sayu untuk berpisah tetapi Ramadhan kali ini banyak benda yang aku tidak dapat capai. Terawih juga banyak ketinggalan.
Malam ini juga akan diadakan majlis kiamullai bermula pukul 3.00 pagi. Insya Allah aku akan cuba untuk bangun dari lenaku untuk hadir ke majlis itu.

Hari ini juga genap 15 hari aku menjalani kehidupan baru di rantauan. Walaupun jarak hanya 400km++ terpisah jauh dari keluarga tetapi kerinduan itu sering bertandang mengetuk hatiku lebih-lebih lagi apabila bersendirian menikmati juadah berbuka. Aku rasakan kehadiran aku di sini bagaikan satu cabaran yang besar untuk diriku kerana ketika ini bulan puasa dan aku terkenang juadah yang dimasak oleh bonda di kampung.
Dua minggu aku di sini banyak benda dan perkara baru aku tempuhi. Aku dapat berkenalan dengan teman-teman baru serta dapat berjumpa kembali dengan teman-teman lama yang telah terpisah lantaran tugas dan jarak yang berbeza.