![]() |
Foto sekadar hiasan |
Minah menangis
mengenangkan nasibnya ditinggalkan suami. Kesesalan mula menerpa menyalahkan
dirinya yang tidak acuh akan nasihat ibu kandung, akibatnya dia terseret ke
dalam kehidupan 'bermadu'. Bukan sekadar menderita kerana tersiksa batin,
tetapi zahir juga menderita, kesihatannya terganggu sejak melahirkan anak ke
empat.
Kata orang Minah
keluar tombong (bahagian sulitnya terkeluar) kerana tak cukup makan ubat dan
tidak menjaga badan sewaktu dalam pantang. Kawan-kawan saling berbisik konon
Minah mengikut kehendak suami hingga sanggup melayan suami walau dirinya masih
dalam pantang. Akibatnya dia ditinggalkan oleh suami.
Bertahun Minah
menderita. Dan paling memalukannya ialah setiap kali dia duduk, kainnya
kelihatan basah. Suatu hari saya bercerita tentang masalah yang Minah hadapi
kepada ibu saudara. Menurut ibu saudara saya masalah Minah boleh diatasi
sekiranya dia rajin bertangas dengan daun duri kemam (daun semalu) untuk tempoh
beberapa lama.
Caranya ialah
sepokok duri kemam (semalu) yang subur dicabut dengan akarnya sekali,
dibersihkan dan ditumbuk pecah-pecah. Sediakan seketul batu sungai yang
sekira-kira boleh ditutup dengan tempurung jantan.
Sediakan juga
tempurung jantan (bahagian kelapa yang berlobang) yang agak besar dan sedikit
cuka makan.
Panaskan batu sungai
ke atas api (biar cukup panas) kemudian letakkan di lantai bilik mandi.
Letakkan duri kemam (semalu) ke atas batu panas, kemudian curahkan setengah
cawan cuka makan. Tutupkan batu itu dengan tempurung dan mencangkunglah di atas
tempurung itu dengan memastikan bahagian sulit betul-betul bertepatan dengan
lubang yang mengeluarkan wap, sambil kain dikembangkan agar wap terkepung
(tidak keluar). Kalau terlalu panas bolehlah berdiri sebentar dan kemudian
mencangkung lagi hingga batu tersebut sejuk. Lakukan setiap pagi (kecuali
semasa datang haid). Insya'Allah tombong akan beransur mengecut dan akhirnya
akan balik kepada posisinya yang asal.
Untuk membantu
mempercepatkan kecutnya tombong, minumlah secawan air daun pegaga setiap hari.
Minah yang telah
sekian lama menderita zahir dan batin yakin dengan ikhtiar yang disarankan.
Tanpa membuang masa dia mencuba resipi yang diberikan ibu saudara saya. Tiga
bulan selepas itu Minah memberitahu saya, bukan saja penyakitnya sembuh tetapi
badannya semakin kemas. Masalah rumahtangganya juga selesai malah hubungan
m,ereka kini lebih erat dari dahulu. Alhamdulillah.
Sekiranya da yang
mengalami masalah seperti Minah, bolehlah mencuba petua ini. Selamat mencuba.
#Artikel ini aku baca dari Majalah Jelita keluaran tahun 1995 atau mungkin sebelum itu lagi. Sebab tak ada tarikh, aku pun dah lupa tarikh sebenarnya. Artikel tersebut aku potong dan tampal di dalam buku koleksi petua aku.
No comments:
Post a Comment