Friday 10 October 2014

Anemia Dikalangan Ibu Hamil

Saya suka membaca dan berkongsi pengetahuan yang saya dapat dengan semua orang. Saya kerap ditanya bagaimana cara nak naikkan HB.
Sudah kerap kali saya berbincang di group wasap dan fb mengenai tajuk ini dan ada pelbagai versi dan cara mengatasinya dan saya amat bersetuju dengan pendapat yang diberikan kerana ianya betul-betul bermanafaat dan berguna kepada semua orang.
Apakah Kurang Darah atau Anemia ?
Kurang darah atau Anemia akibat kekurangan Zat Besi ialah keadaan di mana kepekatan darah merah adalah kurang dari biasa. Dalam istilah perubatan, seseorang yang menghidap kurang darah mempunyai kepekatan darah merah kurang dari 11gm% Haemoglobin.
Hemoglobin merupakan pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan. Oleh itu jika mengalami Anemia, tisu seluruh badan menjadi kurang oksigen dan kurang tenaga.

Apakah Yang Menyebabkan Anemia?
Terdapat beberapa sebab yang boleh menyebabkan berlakunya keadaan ini. Antaranya ialah:

     1. Kurang memakan makanan yang mengandungi zat besi, protien, asid folik dan vitamin.
     2. Ibu yang kerap bersalin.
     3. Jangkitan cacing.
     4. Kehilangan darah yang kronik seperti darah haid yang banyak dan mengalami keguguran yang kerap.
     5. Penyakit keturunan seperti Thalassaemia
     6. Lain-lain penyakit seperti jangkitan salur kencing, penyakit limpa,buasir, demam malaria dan penyakit barah, penyakit buah pinggang, diabetes.


Tanda-tanda Anemia
Tanda-tanda kurang darah adalah seperti berikut :
     1. Kelihatan pucat,      
     2. Sentiasa rasa letih lesu, dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja biasa di rumah. 
     3. Kurang tumpuan semasa belajar.
     4. Rasa mahu pitam bila bangun.
     5. Sentiasa rasa pening.
     6. Bengkak di kaki dan muka.
     7. Kebas kaki dan tangan.
     8. Rasa mengah dan hati-berdebar-debar.



Apakah Akibatnya Apabila Anemia Tidak Diambil Berat.
Komplikasi Kepada Ibu
     1. Pendarahan semasa dan selepas bersalin (Postpartum Haemorrhage) yang boleh mengakibatkan kematian ibu.
     2. Meningkatkan risiko kejadian:
         * Keguguran
         * Morbiditi ibu (tidak sihat dan tidak dapat menjalankan kerja harian)
         * Kegagalan jantung
         * Darah Tinggi
         * Mudah mendapat jangkitan penyakit.
         * Pengeluaran susu badan akan berkurangan.

Komplikasi Kepada Bayi
1.Tumbesaran janin terbantut ; - Intrauterine Growth Retardation (IUGR)
2. Meningkatkan kematian janin dalam kandungan (Macerated Still Birth (MSB)
3. Melahirkan anak tidak cukup bulan.(Pra-matang)
4. Melahirkan anak yang tidak cukup berat badan. (Low birth weight)

Bagaimanakah Mengatasi Keadaan Anemia?
1.Pemakanan yang mengandungi zat besi yang tinggi seperti :

       * Daging
       * Ikan
       * Ikan bilis tanpa kepala
       * Kerang
       *Sayuran hijau seperti bayam, kangkung, pucuk paku, cekur manis.
      Berapa banyak yang perlu dimakan?
         Untuk mengatasi masalah kurang darah, ibu perlu makan sekurang-kurangnya satu jenis makanan sumber haiwan setiap hari. Walau bagaimanapun, ibu hamil perlu makan makanan seimbang berdasarkan piramid makanan.
2. Pengambilan pil hematinik (Zat besi, asid folik, Vitamin C, dan Vitamin B-kompleks). Kesemua empat jenis pil diperlukan untuk memulihkan masalah anemia.
Pil hematinik sangat penting kerana ia mengandungi:
  • Kandungan zat besi untuk membolehkan ibu pulih dengan cepat.
  • Vitamin C untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
  • Vitamin Bco dan Asid Folik untuk membantu pemulihan ibu.
Jika tidak lengkap, rawatan tidak akan berkesan, Makan pil bersama air kosong atau jus buah-buahan untuk membantu penyerapan optina. Elakkan makan pil dengan air kopi, teh, minuman berkola, minuman bercoklat atau susu yang boleh menghalang penyerapan zat besi.
3. Untuk penyakit Thalasaemia, perlu mengikut nasihat doktor.
4. Suntikan zat besi/ Dextran.
    ==> Diberikan kepada pesakit yang tidak boleh makan ubat-ubat /pesakit anemia yang teruk.
5. Pemindahan darah
     => Pemindahan darah akan diberikan kepada pesakit anemia yang teruk.
# Ingat kesemua akibat tersebut mengancam kesihatan dan kesejahteraan kandungan dan boleh membawa maut.
NASIHAT PENTING
  • Makanlah makanan seimbang berasaskan piramid makanan.
  • Mengambil vitamin yang dibekalkan dengan teratur untuk mencegah kekurangan darah. Ia dapat membantu ibu pulih dengan cepat dan janin membesar dengan sihat. 
  • Ia tidak menyebabkan saiz bayi besar.
  • Jaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan penyakit.
  • Rehat secukupnya.
  • Dapat rawatan awal dari klinik terdekat a[abila ada tanda-tanda kurang darah.

No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...