Saturday 10 August 2013

Selamat Hari raya Aidilfitri 2013

Hari ini dah masuk hari ke-3 umat Islam beraya Aidilfitri.
Ada yang dah dua hari puasa enam. Ada yang masih berkira nak puasa esok dan ada juga yang merancang nak berpuasa tahun hadapan. Aku... masih merangkak-rangka menekan keyboard lappy menyusun ayat untuk cerita sempena bulan Syawal kali ini.
Puasa Ramadhan, sudah berlalu walaupun hati masih berkira dan terselit terkilan kerana ada beberapa niat dan hasrat murni sempena bulan Ramadhan yang tidak dapat ditunaikan sepenuhnya. Puasa bilangan hari tidak cukup sebulan seperti orang lain di atas sebab-sebab yang dihalalkan sebagai seorang wanita tetapi perkara-perkara sunat masih jauh untuk dijangkau.
Fadhilat Ramadhan sukarnya untuk disempurnakan. Peperangan melawan hawa nafsu ternyata aku kalah jua.
" Jom, pergi terawih.." ajak temanku. Dia sudah bertelekung solat dengan sejadah solat dijinjingnya.
" Hang p dululah. Jap lagi aku p.." balasku yang masih menyusun pinggan-pinggan bekas makanan selepas berbuka pada hari itu. Akhirnya solat maghrib pun terkejar-kejar kerana melayan nafsu makan.
Bila siap solat maghrib, rehat jap sambil layan surat khabar yang tak siap baca siang tadi.
Azan Isyak berkumandang baru nak kemas surat khabar tu.
" Woit, aok tak mau pegi terawih ke?" tegur plak sorang teman lain. Dia terjengul kat pintu bilik aku sambil jinjing baldi yang penuh dengan pakaiannya.
" Eh! Aok nak p basuh baju ke? Koi nak ikut lah sekali. Banyak baju koi lam baldi tu.." balas aku sambil jeling kat baldi bawah katil. Akhirnya aku berterawih kat bilik air cuci baju bersama teman aku yang keuzuran...
" Cik Kak, tak sir g terawih ko? " sorang lagi teman yang lalu kat depan bilik air menegur. Dia sudah siap bertelekung hendak ke surau.
" Mu g lah dulu. Male ni kawe tok g. Nak basoh baju sebeldi ni..."
Itulah di antara sketsa yang aku kerap alami yang menggagalkan niatku untuk berterawih. Niat ada tapi tidak sama dengan nawaitu dan kawalan fizikal maka aku kerap gagal untuk menyempurnakan solat terawih untuk kali ini.
Akhirnya puasa sebulan sampai ke penghujungnya.
Aku tidaklah ghairah sangat nak beraya semenjak dah menajdi mak si dara ni. Kepala fikir keperluan anak-anak yang jauh nun di mata. Baju raya anak dah beli tapi tidak sempurna rasanya. Tahun ni aku tak dapat beli baju sedondon. Masa awal-awal puasa harga baju raya mahal amat untuk aku yang bajet ciput ni.
Bila dah dekat ke penghujung puasa maka adalah sikit-sikit offer oleh pusat membeli belah. Aku pula yang tak tahan dugaan bersama-sama memeriahkan jualan raya sanggup berjalan kaki ber'LRT' dari Bangsar ke Jalan TAR semata-mata untuk 'shopping'.
Kecut perut dengan suasana terutama di SOGO. Nak melangkah pun rasa sesak. Aku anggarkan hampir 1000 orang lebih berada untuk setiap aras SOGO dari pakaian Kanak-kanak, Wanita, Lelaki dan kasut-beg dan macam-macam keperluan.
Maka petang itu aku balik tanpa beli apa-apa pun. Itu cerita hari Sabtu. Maka seminggu selepas itu aku sekali lagi menjenguk ke SOGO selepas habis kelas petang. Aku dah merancang untuk berbuka puasa dan shopping baju raya.
Aku bersama 4 orang teman dari Utara naik LRT dan turun di Masjid Jamek. Selepas itu tukar train ke Bandaraya dan turun di SOGO. Kita orang pun berbuka puasa di SOGO. mak ooiii... memang sesak Giler kat SOGO masa berbuka puasa tu. Kami hanya beli segelas jus setiap orang dan aku hanya pilih jus tembikai untuk berbuka puasa petang itu.
Kami menikmati minuman kami sambil berdiri kerana tempat duduk sudah dipenuhi. Setengah jam selepas itu adalah seorang awek yang baik hati memberi tempat duduknya untuk kami. Kami segera mendapatkan meja itu. Seorang kawan ditinggalkan untuk menjaga meja dan kami berempat beratur untuk membeli makanan. Aku beli nasi dan menu kampung siap dengan ulam daun selom.
Bila dah siap makan kita orang bersesak pula kat surau yang terletak dia aras B1 SOGO. Alhamdulillah, di dalam kesibukan 'bershopping' bagai, kewajipan yang satu ini tidak diabaikan. Aku rasa syukur sangat melihat betapa ramainya muslimin dan muslimat bersesak-sesak di surau itu untuk solat. Hampir menitis air mataku melihat situasi itu. Syukurlah jua kerana SOGO menyediakan kemudahan surau walaupun kedudukannya terletak di bahagian bawah bangunan itu. 
Selepas itu kami berlima barulah dapat shopping dengan tenang. Membelek dari satu 'level' ke 'level' lain mencari mana yang berkenan. Poket makin kempis. Duit bonus dah habis dan duit terselit terpaksa digunakan. Kad Kredit pun terketar-ketar masa dihulurkan dan tangan pun dah lenguh gara-gara membelek susunan pakaian yang bertimun minta pemerhatian.
 Aku leka memilih baju untuk si puteri di rumah. Cantik gaun-gaun yang di pamerkan. Belek dan belai dengan lembut, terbayang dah di mata bila si puteri pakai baju ni nanti. Kalau ikutkan hati yang dah gelap rambang tengok baju yang tergantung aku rasa nak borong semuanya tapi bila fikir kesian plak kat En.Hubby yang akan membayar kad kredit nanti, dua tiga kali juga aku lurutkan dada sabarkan hati...
Tengok kasut untuk si puteri. Hum.. mesti anggunnya puteriku berdetak-detak melangkah dengan kasut barunya nanti. Itu dah aku bayangkan dalam kepala masa hulur kad kredit kat 'cashier'.
Penangan shopping raya ni merbahaya dan racun . Baju untuk hero-hero pun menyebabkan RM dalam purse seakan menjengok diri. Aku macam pilih kasih pula apabila hanya sepasang sahaja untuk setiap orang puteraku sedangkan untuk puteri terlebih sikit. Baju untuk Gugurl memang cantik iho...
Cerita di SOGO berakhir sehingga pukul 10.00 malam. Maka pada pukul 10.15 malam aku and the geng santai pula di meja KFC kat Pertama Complex.
Kami balik kira-kira jam sudah 12.30 malam.





No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...