Wednesday 5 June 2013

Kasihan Adikku dan Anak kecilnya Aiman Hakim

Minggu ini aku hanya masuk kerja sehari sahaja dan apply cuti seminggu. Mulanya plan hendak ke KL menjenguk anak saudara yang masuk IJN tetapi atas sebab yang tidak dapat diatasi terpaksalah aku menghabiskan masa duduk di rumah sahaja.
Anak saudara sudah 'confirm' masuk IJN petang semalam dan akan berada di wad selama seminggu untuk pemantauan sebelum dilakukan 'operation' jantung. Si kecil yang berumur sebulan lahir dengan selamatnya pada 25 April 2013 pada pukul 10.00 pagi kemudian di sahkan mengalami 'G6PD Deficiency' dan telah ditahan wad kerana 'jaundice' (Penyakit Kuning bayi baru lahir) mungkin berkait dengan kekurangan enzim G6PD. Sila rujuk di sini untuk mengetahui apa itu Kekurangan G6PD. Klik.
Hari pertama kelahiran 25 April 2013
Menurut ibunya, doktor telah membenarkan anaknya di bawa balik selepas pemantauan berkait dengan G6PD dan diminta untuk membawanya kembali ke Hospital untuk diperiksa tahap jaundisnya. Semasa hari pemeriksaan itulah bacaan 'Serum Bilirubin' meningkat tinggi dan perlu di tahan di wad.
Bayi kecil itu telah di letakkan di bawah pemerhatian doktor dan diberi rawatan 'Phototherapy'.
Semasa di bawah pengawasan doktor inilah bayi kecil ini telah dikesan perubahan pada warna bibirnya yang mula kelihatan kebiruan (Sebelum itu bayi adalah normal seperti bayi sihat yang lain). Doktor telah melakukan pemeriksaan yang lebih lanjut seterusnya keputusan yang didapati menunjukkan bayi ini ada masalah berkaitan jantungnya dan telah merujuk bayi ini ke hospital besar negeri.
Semasa di Unit Rawatan Rapi Bayi
Hasil dari pemeriksaan yang dilakukan oleh Doktor Pakar di sana mengesahkan bayi kecil ini mengalami Masalah Jantung Konginetal dan memerlukan rawatan pembedahan segera. Hampir sebulan menunggu kekosongan di IJN sehinggalah pada 4hb April 2013 barulah bayi ini selamat ke IJN dengan bantuan penerbangan ihsan 'Mercy Flight' dari KL.
Aku rasa amat bersyukur dengan perkembangan terkini bayi berkenaan namun aku masih kebimbangan memikirkan kos yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa bayi kecil itu. Duit banyak dihabiskan semasa menyambut kelahiran bayi baru ini dan seterusnya perbelanjaan yang tidak dijangkakan untuk menguruskan keperluan dan bayaran wad serta keperluan lain keluarga.
Di Hospital ini bayi ini dilahirkan
Sebelum itu semasa seminggu pertama sebelum kelahiran bayi ini, bapanya telah membeli sebuah kereta terpakai untuk digunakan bagi memulakan perniagaan. Katanya untuk mencari rezeki yang lebih untuk menyara keluarganya yang semakin bertambah. Dia beria-ria mengeluarkan modal untuk memulakan perniagaan kecilnya meniaga di pasar malam.
 Dia amat gembira semasa menelefon aku memberitahu isterinya telah selamat melahirkan bayi lelaki. Katanya "Syukurlah Allah memberi anak lelaki kali ini juga kerana bolehlah membantunya meniaga." Merujuk kepada kereta yang baru dibeli untuk perniagaan. Namun percaturan yang dilakukan tidak menjadi seperti yang diharapkan. Allah telah mengujinya selepas kelahiran bayi itu.
Duit simpanan habis untuk pusingan modal perniagaan dan anak kecilnya pula perlu rawatan. Dia banyak termenung selepas itu apabila disahkan anak kecilnya mengalami masalah jantung dan perlu pembedahan doktor. Dia kebingungan apabila mendapat tahu kos pembedahan sebanyak RM34,000.00. Di manalah hendak dicekau duit sebanyak itu setelah simpanan yang ada telah habis untuk perbagai hal. Bantuan kewangan dari kaum keluarga juga hanya sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan sementara waktu sahaja. Dia tahu kaum keluarganya juga tidak berkemampuan sepertinya.
Dia turun naik pejabat kebajikan dan berjumpa wakil rakyat kawasan membawa salinan fotostat pengesahan doktor berkaitan penyakit anaknya. Janji dibuat oleh pihak berkenaan meringankan beban kepalanya. Pihak kebajikan menunaikan janji dan dengan bantuan dari kebajikan itu beberapa perkara berkait dengan bayaran wad dan tanggungan pampers anak untuk waktu ini dapat diselesaikan. Akhirnya dia kebingungan lagi apabila duit poket sendiri kekeringan kerana semenjak kelahiran anaknya dia tidak berkerja dan baginya tiada kerja maka tiadalah duit poketnya.
Janji wakil rakyat kawasan hanya sekadar janji seperti semasa pilihan raya sahaja. Apabila diajukan perkara ini kepadanya bagaimana bantuan dari wakil rakyat sanjungannya, dia mendegus marah dan katanya " Kalau aku tahu macam ni , sumpah aku tak undi dia..."
Kos pembedahan sebanyak RM35K dibiayai kerajaan. Syukurlah Allah memberinya jalan dan bantuan-Nya. Namun dia juga perlu memikirkan kos perbelanjaan untuk bayaran wad dan lain-lain lagi. Dua anak lelakinya telah ditinggalkan bersama orang tuanya di kampung sekurangnya dia tidak perlu memikirkan masalah susu dan pampers untuk anak lelakinya itu.
Semalam semasa aku berbicara telefon dengannya dia memberitahu dia terpaksa menyewa bilik tamu di IJN yang berharga RM50.00 semalaman. Dalam keadaan sekarang kos sebanyak RM50.00 semalaman itu amat tinggi nilainya. Aku sebagai kakaknya hanya mampu memujuk dia bersabar. Dia bercerita lagi, " Aku, kalau boleh nak tidur di kaki lima sahaja sebab jaga kat IJN gitau kos paling murah ialah bentang tikar tidur kat kaki lima, tetapi bini aku masih dalam pantang mana boleh tidur kat tempat sebegitu."
Anak kecilnya ditempatkan di wad rawatan rapi dan tidak sedarkan diri.  Sekiranya anaknya berada di wad biasa isterinya mungkin boleh tidur berdekatan katil anaknya.
Aku juga berpesan kepadanya makan berhati-hati dan berpada-pada, kerana kos makan di KL tidak sama seperti di kampung. Dia beritahu hanya makan sekali sehari. Berjimat kerana duit poket makin susut.
Dia ke KL pun hari tu dengan menumpang adik lelaki yang balik ke Melaka kerana anak dan isterinya menaiki 'Mercy Flight'.
Walaupun adik lelakiku yang mengalami masalah ini tetapi sebagai kakaknya aku turut sama kebimbangan memikirkan kos yang masih banyak diperlukan untuk bayaran wad selama sebulan selepas ini, kos rawatan dan ubatan, kos makanan dan kos perbelanjaan lain. Aku tidak pasti adakah caraku ini betul atau tidak apabila meminta adikku kembali ke kampung dan membiarkan isterinya sahaja yang menguruskan perihal anak kecilnya itu dengan bantuan doktor dan kakitangan lain, kerana adikku itu perlu bekerja untuk mencari wang bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dialami sekarang. Berdoa agar Allah melebarkan jalan rezeki untuknya.
Demi anaknya juga, adikku bercadang menjual motorsikal yang dimilikkinya serta sebuah kereta Wira yang menjadi kesayangannya. Apabila kuajukan pertanyaan kepadanya, jawapannya ialah: " Aku tak tahu nak fikir cara lain lagi long. Itu sahaja harta yang aku ada. Tapi aku terpaksa demi merawat anakku. In sha Allah, rezeki akan diberi-Nya lagi selepas ini."
"Kalau kau jual kereta dengan motor tu, nanti kau nak bergerak dengan apa?"
"Duit aku dah habis long. Aku beli kereta yang satu lagi tu nak meniaga tapi aku tak sangka perkara ini akan terjadi. Aku nak meniaga tapi modal untuk beli barang dah habis untuk belanja dan bayaran hospital."
"Ok, nanti aku cuba iklankan dekat internet kau nak jual motor dengan kereta tu."
Aku tahu keluargaku tidak mampu dari segi kewangan untuk membantu adikku ini tapi bantuan kecil yang kami hulurkan sekurangnya membantu meringakan beban mentalnya dengan sokongan moral dan kesabarannya semoga Allah memberkatinya.






No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...