Saturday 8 June 2013

Cerita Lalat dan makan di warung

Malam tadi aku mengemas meja belajarku yang penuh dengan kertas dan nota kecil serta manuskrip karya aku yang syok sendiri. Aku terjumpa sehelai pamplet berkaitan lalat yang terselit di celah diari kerja. Pamplet itu aku ambil di klinik entah bila masanya kerana pamplet itu sudah lama berada di situ dan warnanya sedikit pudar.
Bila baca pasal lalat ini aku teringat peristiwa aku dan adik lelakiku makan di warung yang ada banyak lalat. Keesokan harinya kami berempat sakit perut mungkin keracunan makanan. 
Ceritanya bermula apabila suatu petang aku ke bandar bersama Boboy dan Tyra ke butik kecantikan. Semasa di lampu isyarat aku berselisih dengan adikku di lorong sebelah menghala ke arah bandar Kuala Krai. Apabila memasuki lorong ke Bandar Krai kami sama-sama berhenti di satu lagi lampu isyarat. Kenderaan kami hanya berselang sebuah kereta. Adikku di depan. Aku menelefon adikku dan bertanya  arah tujunya. Retetan dari situ aku mengekorinya hingga ke bandar Krai. Aku singgah di bank dan dia pula masuk ke Farmasi mencari susu anaknya. Selepas selesai mengambil duit dari mesin ATM aku pun turut sama masuk ke dalam farmasi bertanyakan perihal susu yang dicarinya. Aku kemudian mengajaknya bersembang sambil makan kerana ada banyak persoalan yang aku ingin bertanyanya.
Adikku memberitahu dia baru pulang dari Kota Bharu  menjengok anaknya yang berada di hospital . Aku lihat lihat petang itu wajah adikku kelihatan muram dan tidak seceria seperti biasa. Wajahnya mengambarkan satu beban yang berat sedang dipikulnya waktu itu.
Aku bertanya khabar perkembangan anak kecilnya yang masih ditahan wad di Unit Rawatan Rapi Bayi di Kota Bharu. Adikku dengan sedihnya menceritakan perkembangan anaknya yang mengalami masalah jantung dan masih menunggu giliran untuk rawatan di IJN, KL. Nada suaranya tidak lagi seceria ketika dia menelefon aku semasa mengkhabarkan isterinya selamat melahirkan bayi ke-3 nya itu. Petang itu dia kelihatan sangat lemah. Aku bertanyakan tentang dirinya dan mengajak dia makan. Pada mulanya dia menolak dan memberitahu sudah makan di Kota Bharu. Aku terus memujuknya memberitahu aku dan 'escort' aku dua orang lagi lapar dan mengajaknya menemani kami makan. Akhirnya dia bersetuju dan aku meminta dia membawaku kedai yang dipilihnya.
"Kita makan di kedai Pak Mentua aku cakap kat situ makanannya sedap." ujarnya.
"Okay. Kat mana tu?" Aku bertanya pula.
"Kedai hujung dekat Stesyen Keretapi," ujarnya lagi.
"Okey. Beres. Aku belanja ya." ujarku pula.
Aku memintanya menunjukkan jalan dan kami bergerak dengan kereta masing-masing.
Sesampainya di kawasan stesyen keretapi setelah 'memarking' kereta aku mengikutnya masuk ke dalam sebuah warung yang terletak paling ke hujung.
Ketika itu tiada pelanggan kecuali dua orang perempuan sedang berbual di meja yang terletak di depan warung. Sementara seorang budak lelaki pula sedang menikmati makanannya sambil 'bermain' telefonnya. Mereka itu mungkin keluarga pemilik warung itu.
Aku dan adik terus memilih meja yang paling depan. Adikku duduk bersebelahan Boboy sementara aku duduk mengadap mereka bersama Tyra.
Kami memesan makanan masing-masing iaitu Boboy memilih Nasi Goreng Pataya, adikku memilih Nasi Goreng Kampung sementara aku dan Tyra memesan Nasi Goreng Ikan Masin.
Sambil menunggu nasi siap, hidangan minuman lebih awal sampai. Kakak yang menghantar minuman itu sedikit menjengkelkan caranya meletakan minuman di depan kami. Mungkin cara kami yang selekeh, biasalah ada standard melayan pelanggan mengikut kelas. Aku melayan Tyra yang mula buat perangai suka memanjat. Semasa nasi sampai azan maghrib dari masjid berdekatan berkumandang.
Selesai azan kami pun mula menikamati hidangan kami. Ketika itu suasana di luar warung masih 'cerah'. Beberapa orang kanak-kanak bermain badminton di luar kedai.
Semasa kami menikmati hidangan itu ada beberapa orang kalau tak silapku tiga orang pelanggan lelaki datang memesan makanan.
Adikku mula merungut apabila lalat mela menghurungi meja kami dan hinggap ke atas makanan kami.
Aku memerhati adikku membengkokkan straw minuman di dalam gelas miliknya, Boboy dan Tyra.
"Kenapa 'lipat' straw tu?" Tanyaku sedikit pelik.
Adikku ketawa kecil. 
"Lalat banyak ni. Lalat akan hinggap di bekas makanan yang paling tinggi dan paling suka hinggap di straw."
Ujarnya sekaligus mengajarkan satu petua atau cara baru  yang aku sediri tidak tahu.
Aku pun turut sama membengkokkan straw apabila lalat mula menjadikan straw milikku yang masih tegak sebagai sasarannya. Satu keajaiban bagiku apabila lalat tidak lagi hinggap di bekas minuman kami tapi berterbangan di atas meja.
Melihat lalat yang semakin banyak muncul aku mula merungut.
"Tak boleh jadi ni. Bahaya kalau lalat hinggap atas makanan kita. Kedai ni kotor sangat sebab tu lalat datang ," bisikku  sambil mengunyah makanan. Tyra pula enggan makan nasi goreng milikknya. Dia hanya minum air teh dan mula bermain. Aku cuba memaksanya makan sedikit nasi.
" Jangan membazir dik. Tak elok. Allah tak suka orang yang membazir." pujukku sambil cuba menyuap nasi ke mulutnya. Dia hanya makan beberapa suap sahaja dan enggan makan lagi.
"Cukup, Tya dah kenyang."
Maka terpaksalah aku dan Boboy menghabiskannya. Sambil makan kami berbual berkaitan dengan motor dan kereta adikku yang ingin dijualnya. Aku memberitahunya aku telah mengiklankannya di internet.
Adikku juga memberitahu ada satu sms kosong yang diterimanya dari nombor yang tidak dikenalinya.
Aku meminta nombor tersebut dan mendail nombor tersebut menggunakan telefonku. Seorang perempuan yang menjawabnya dan bertanyakan pasal motor yang diiklankan di internet. Aku bercerita perihal motor dan pemanggil itu berjanji akan berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu dan berjanji menghubungi semula. Selepas menamatkan panggilan aku meneruskan menghabiskan makanan di pingganku.
Abang yang menjadi tukang masak warung itu amat baik layanannya dan berbual mesra dengan kami. Aku terlupa slot perbualan dengan dia .
Selesai makan aku membayar makanan itu.
" Maaflah kak, saya tak ada duit kecik pula," ujarku sambil menghulurkan not seratus. Kebetulan petang itu aku menyelit duit beberapa ratus ke dalam poket telefon aku untuk membayar kutu. Akak tuan kedai itu tersenyum mesra sambil mengambil duit yang kuhulurkan untuk membayar harga makanan. Semuanya RM13.30 sen. Empat pinggan nasi goreng, dan empat jenis air amat murah di warung itu tetapi bila memikirkan dari segi lalat aku rasa tak nak masuk dah kedai itu.
Aku dan adikku berpisah di kedai itu dan meneruskan perjalanan kami. Adikku kembali ke Kota Bharu dan aku kembali ke rumahku.
Pagi esoknya aku bangun dari tidur dengan rasa yang tidak selesa sangat pada perut dan pundi kencing rasa seperti bengkak dan bertangkung 'air banyak'. Mulanya aku ingat mungkin sebab aku kurang minum air tetapi semasa kencing tiada masalah dan kencing juga seperti biasa. Perut yang sebu tidak juga hilang dan mula hendak berlari ke tandas. Tetapi bila ditandas tiada pula tanda hendak membuang air besar. Lebih kurang pukul 10.00 pagi, adikku menelefon memberitahu dia mengalami diarea (Cirit). Kesimpulannya bukan aku seorang sahaja yang mengalami masalah itu. Tengahari itu pula Boboy pula bercerita.
"Kenapalah perut Boboy ni sakit memanjang je hari ni. Dah banyak kali pergi ke tandas ," jelasnya.
" Boboy ada muntah ke?" Tanyaku pula.
"Tak ada, tapi perut rasa sakit memulas." beritahunya lagi.
Aku teringatkan Tyra. Bagaimanalah dengan perut dia yang kecil itu. Seharian itu aku asyik berulang alik ke tandas. Namun kuperhatikan Tyra tiada tanda-tanda alami masalah seperti kami bertiga. Malam keduanya sekitar pukul 3.00pagi, aku melihat Tyra bangun dan merangkak ke hujung katil. Dia berteleku di situ sambil tangannya menekan perutnya. Apa hal pula ni.
Aku tidak mempedulikannya dan terus memejam mata kembali. Tiba-tiba Tyra menepuk kakiku.
"Kenapa ni?" Tanyaku dengan mata yang tertutup mengantuk.
"Tyra sakit perut. Tya nak ke tandas. Buka lampu,"
Ujarnya bernada cemas.
Aku terus terlompat bangun dan menemani Tyra ke tandas. Tyra terus berlari ke tandas sebelum sempat aku memetik suis lampu. Aku mendengar dia cirit.
Baru aku terfikir, Tyra dan Boboy lewat mendapat simptom 'Food Poisoning' mungkin kerana faktor antibodi mereka masih kuat.
Aku rasa kami semua menghadapi masalah ini selepas menikmati makanan di warung tersebut kerana sebelum itu aku makan tengahari di rumah dan tiada masalah termasuk suamiku. Tetapi apabila aku, Boboy, Tyra dan adikku menikmati makanan di situ kami menghadapi masalah tersebut.
Ini semua lalat punya pasallah. Warung itu memang kotor tapi aku masih berdegil dan inilah akibatnya.
Aku rasa hendak melaporkan kepada orang Kesihatan bahagian Kebersihan dan kawalan penyakit berjangkit tetapi bagaimana ya…
Aku masih kebingungan sehingga kini...
Itulah ceritaku yang berkaitan lalat.

Ini pula perihal lalat yang aku 'copy paste' dari pamplet kesihatan itu.

Pengenalan
Lalat rumah boleh didapati di dalam dan sekeliling rumah, sama ada di kampung-kampung atau di bandar-bandar di mana taraf kebersihannya rendah. Jenis-jenis lalat termasuklah lalat rumah, langau, lalat daging dan lalat kandang.
Apakah Bahayanya Lalat
Lalat telah dikaitkan sebagai pembawa kuman penyakit yang boleh menyebabkan individu dan keluarganya mengidap penyakit. Contoh penyakit yang dibawa lalat termasuklah disenteri, cirit birit, tifoid (Demam Kuning), jangkitan cacing dan keracunan makanan.
Keadaan Yang Menggalakkan Pembiakan lalat
Lalat tertarik kepada najis manusia dan binatang serta berbagai tempat lain seperti tanaman/ buah-buahan, sampah sarap, sampah kebun dan sisa makanan.
Pencegahan Dan Pengawalan
Kehadiran lalat adalah disebabkan adanya najis manusia, baja binatang dan pembuangan sisa makanan atau sampah sarap yang tidak sempurna. Kawalan lalat memerlukan penghapusan tempat-tempat pembiakan lalat, pemusnahan larva dan lalat dewasa serta menjadikan makanannya sukar diperolehi. Penghapusan pembiakan lalat bergantung terutamanya kepada kebersihan alam sekeliling dan penggunaan racun serangga yang sempurna, umpan yang beracun 'electric grids' dan perangkap. Cara lain termasuklah menjaga kebersihan, penyelenggaraan rumah yang baik dan melaksanakan kawalan kebersihan yang dicadangkan. Kawasan sasaran kawalan ubat merangkumi premis makanan, restoran, rumah, ladang ternakan, tempat penyembelihandan kilang makanan.
Lalat dan Pengawalan
  1. Bahan buangan dan sampah sarap harus dibungkus sebelum dibuang.
  1. Tong sampah harus dibersihkan dan sentiasa ditutup rapat.
  1. Makanan harus dikawal daripada dicemari oleh lalat dengan menutup dengan saji atau menyimpan dalam almari.
  1. Gunakan lilin yang menyala atau alat pembunuh elektrik agar lalat tidak hinggap di atas makanan yang terdedah.
  1. Memastikan kebersihan di dalam dan di luar tempat penghidang makanan.
  1. Memastikan pembuangan sampah dilakukan dengan sempurna.
  1. Lalat-lalat dewasa harus dihapus dengan semburan racun serangga.
  1. Mengadakan kempen-kempen kebersihan seperti gotong royong.
  1. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan berhubung kebersihan yang tidak memuaskan. Contohnya sampah yang tidak diangkut.

Bersama-sama menjaga dan memelihara kebersihan persekitaran bagi mengawal pembiakan lalat.
"Persekitaran Terpelihara, Lalat Tiada"
  Sumber pamplet Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2006

No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...