Friday 7 June 2013

Sayur dan Ulaman dari Kebun Bonda

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hari ini Jumaat tanggal 7hb Jun 2013 dan jam di sudut tepi laptop menunjukkan pukul 11.49 pagi.
Hari ini masih lagi di dalam mood bercuti. Rupanya sudah masuk hari ke-5 aku tidak menjenguk diri ke tempat kerja. Ikhlas aku rasa tenang seketika apabila tidak perlu memikirkan masalah tempat kerja. Bukan bermakna aku tidak suka dengan tempat kerjaku tapi aku perlukan waktu untuk merehatkan minda seketika setelah bertungkus lumus dengan kerja. Aku tidak ingin berbicara pasal tempat kerjaku kerana masa cuti ini aku ingin lupakan seketika hal kerja kerana hari Ahad lusa aku perlu jejak kaki semula ke tempat kerja.
Pagi ini pakaian untuk di cuci hanya satu bakul besar sahaja. Biasanya apabila hari minggu (Untuk Kedah, Terengganu dan Kelantan, hari jumaat adalah hari minggu) aku mula memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin seawal subuh lebih kurang 5 bakul besar kerana seminggu tidak mengerjakannya. Tapi hari ini satu bakul sahaja. Pagi ini aku hanya menyediakan sarapan roti bersalut telur dan susu sahaja untuk keluargaku. Seterusnya sambil memasukkan pakaian ke dalam mesin aku mepersiapkan keperluan dapur untuk makan tengahari.
Kebun Getah Bonda di seberang jalan depan rumah. Nun di bawah sana kelihatan sungai yang menjadi tempat kami bermain semasa kecil.
 Dua hari lepas aku ke rumah bonda dan sambil merayap ke dalam kebun melihat adik lelakiku menebas semak yang mula melingkari anak pokok getah yang di tanam oleh bonda dan abah. Aku dan bonda sempat mencari pucuk paku yang tumbuh liar di dalam kawasan kebun di tepi sungai.
Sebetulnya bonda yang memetik pucuk paku dan aku menunggu berdekatan pokok 'beko' mengambil pucuk beko. Walaupun aku anak kampung tetapi sebenarnya aku takut masuk semak atau hutan. Aku tidak takut atau geli dengan pacat tapi aku amat takut dengan binatang merayap yang lain. Sekiranya aku redah juga semak itu hatiku tidak tenang kerana pemikiranku asyik terbayang binatang yang menjalar itu.
Mata meliar memandang celah-celah pokok dan kaki berat untuk melangkah. Pantang mendengar bunyi geseran bahkan ranting berkeriut sikit aku dah mula menjerit dan mula lintang pukang langkah seribu. Memang aku penakut tapi aku suka 'hunting' masuk hutan. Itupun berteman. Aku takut dan geli sangat dengan binatang ini.
 Kalau setakat pacat aku boleh tahan lagi. Memanglah mula-mula jumpa pacat aku terlompat-lompat, tapi bila benda tu dah siok gigit kaki aku, tunduk ambil daun kayu sehelai tenyeh je pacat tu. Kalau tak di buangnya mau bengkak kaki aku kesan gigitannya. Biarpun sekejap pacat gigit tapi kalau dah dia tertonggeng kat kulit aku memang akan tinggalkan kesan merah. Gatal pula tu kesan tempat gigitannya. Aku ada beberapa petua yang aku belajar dari orang kampungku terutama arwah nenek berkaitan pacat.
Semasa aku bersekolah, bonda aku pernah bekerja menoreh getah. Aku lihat pagi-pagi dia akan spray bahagian luar kasut but yang dipakainya dengan 'Bygon'. Selain itu dia akan ikat kain/ stokin buruk kat kasut but dan spray bahagian tersebut. Cara tersebut pacat tidak akan panjat kasut but itu. Kerana menurutnya air embun yang melekat dekat pokok-pokok kecil akan melunturkan kesan spray 'Bygon' di kasut but tapi di bahagian kain/stokin yang diikat akan tahan lama kerana spray racun serangga itu meresap ke dalam kain tersebut.
Nenek aku pula masa aku kecil dia suka 'songel' tembakau. Air dari tembakau digunakan untuk menanggalakan pacat yang gigit dekat kulitnya. Mudah sangat pacat itu jatuh. Selain itu aku juga lihat ibu saudaraku suka hisap rokok daun bila dia menoreh getah, abu dari putung rokok itu di tenyeh ke arah pacat meliuk pacat itu jatuh sebab kepanasan dengan api putung rokok. Selain itu abu putung rokok juga boleh mengurangkan rasa kegatalan akibat digigit pacat.

Bercerita pasal sepetang di kebun bonda itu aku mengambil 3 jenis sahaja sayuran iaitu:

1) Pucuk Paku
2) Pucuk Beko
3) Pucuk Sayur Manis

 Pucuk Paku
Kesemua sayur ini tiada racun kerana ianya tumbuh semulajadi di atas tanah tanpa baja pun. Pucuk paku boleh dimasak berbagai ikut citarasa. Aku biasa masak simple sahaja, goreng campur belacan, goreng campur kunyit, goreng campur ayam, ikan bilis atau udang. Selain itu buat masak lemak putih, lemak kuning, kerabu, dan yang paling aku suka celur jadikan ulam cicah budu. Selain itu aku kerap juga jadikan ulam mentah cicah budu tapi rasanya agak berlendir.
Pucuk Paku
Pucuk paku di kawasan kampung aku ini suatu masa dahulu sebelum kawasannya yang terletak di tepi jalan diterokai oleh orang kampung jadikan kawasan kebun sayur, kalau kenduri ramai orang datang mencarinya sehinggakan setakat dua tiga guni tu ajak beberapa orang mengutipnya sekejap aje dapat. Sekarang ini tidak ramai orang yang tahu kerana kawasan tersebut telah diterokai oleh 'seseorang' menjadikan ladang sayur miliknya, kawasan untuk mendapatkan pucuk paku semakin susut. Kawasan tepi sungai berdekatan kebun bonda pun tidak sebanyak dulu lagi tapi petang itu dalam masa 20 minit, bonda membawa naik 'sekilik' lebih kurang sepemeluk (Hahaha.. betul tak istilah orang kampung aku guna ni?)... banyak juga tu pucuk paku. Pucuk paku kalau beli dekat pasar seikat RM1.00 tapi petang itu bonda kutip lebih kurang 30 ikat kalau diikat untuk jual. Tapi kami yang tinggal di kampung ini setakat nak makan pucuk paku, pergi aje belakang rumah cari pucuk paku dapatlah sayur percuma untuk hari itu. Tapi bagi orang yang takut pacat dan malas mencari seikat RM1.00 pun dibeli.... termasuk aku juga tu.

Pucuk Beko
Pucuk beko atau sesetengah tempat memanggilnya 'Bonglai' .Pokok bonglai juga dikenali sebagai pokok bolai, bongloi, boli, bikir, kulai, merlai, beka, beko dan lain-lain lagi. Nama botani yang aku tanya pakcik google ialah Oroxylum indicum dari famili Bignoniaceae.
Aku tak nak bercerita pasal khasiat beko ini sebab uols boleh tanya Pakcik Google pasal Beko ini. Tapi aku ingin berkongsi pasal pokok beko di rumah bondaku. Pokok beko dijadikan tiang pagar kebun getah dan mengelilingi kebun buah di rumah bonda. Bukan sekadar dijadikan tiang pagar, disebabkan pokok ini hidup maka akan mendapat hasil daripadanya iaitu pucuknya dijadikan sebahagian ulaman dapur.
Pucuk Beko
Aku paling suka makan pucuk muda sebagai ulam tapi ahli keluargaku yang lain suka makan pucuk yang dicelur. Memang rasanya sedikit pahit tapi lidah aku sudah biasa dengan makanan pahit jadi tiada masalah lagi malahan menjadi penambah selera makan pula.
Buah beko yang panjang , jangan dibiarkan sampai tua nanti nak masak pun tak boleh dah. Buah beko sedap dihiris nipis dijadikan ulam mentah, celur atau dibuat kerabu. Kadang aku celur baru di buat kerabu tapi lebih sedap kalau dibakar sebelum dibuat kerabu. Selain itu buah beko juga boleh dibuat masak lemak atau masak asam.

Pucuk Sayur Manis atau Pucuk Cekur Manis

Aku suka sangat dengan pucuk ini untuk di masak lemak putih. Tetapi hari itu aku masak pucuk ini dengan ubi keledek dicampur ikan bilis. Memang sedap ala-ala sup sayur gitu.
Pucuk Cekak Manis ( Sayur Manis)
Pucuk sayur manis ini sangat sesuai untuk ibu mengandung bagi menambah darah (Untuk kes HB 'Low'). Aku sekali sekala terjumpa sayur ini di pasar tetapi tidak membelinya kerana pokok ini sudah di tanam di rumah.

Itu celoteh aku untuk hari ini. Bersambung lagi dengan cerita merapu yang lain pula. Sekarang sudah masuk zohor. Untuk idea sepanjang ini aku memerlukan masa sehingga dua jam lebih untuk menyiapkannya.
Wassalam.

Wakaka... Otak Berkarat !

No comments:

Post a Comment

Cuti hujung minggu

 Semalam adik AK mengajak AK berkelah di air terjun berdekatan rumah. Sudah lama sebenarnya tidak berkunjung ke sini semenjak banjir melanda...